Friday, April 3, 2009

Sesekali menghampar

Tikar pandan tikar mengkuang,
....Duduk bersila tandang bertamu;
Beredar zaman bertukar pandang,
....Pupuk budaya sandang tak jemu.

Mak cukup suka membeli dan menghimpun tikar. Rumah di kampung bermacam-macam tikar yang mak beli. Dari yang seasli tikar mengkuang sehinggalah ke tikar yang terkini – tikar pandan, getah, lanolium, rotan dan tak ketinggalan buluh. Itu belum lagi saiz dan warna. Yang berlipat dua, berlipat tiga, bergulung, berlipat dan gulung dan macam-macam lagilah. Berkenan aja di mata mak. Kalau tak dibeli sendiri, dipesan bila kesempatan.

Tikar secara definisinya ialah hamparan daripada anyaman daun mengkuang dan sebagainya yang dibentangkan sebagai alas duduk. Yang peliknya ambal atau permaidani tidak pula digolongkan dalam kategori ini walhal ia memainkan fungsi yang serupa, sebagai alas duduk. Mungkin sebab ia bukan asli tradisional, ia lebih “tinggi” sedikit kedudukannya. Oleh itu ia lebih layak untuk untuk dilihat dan sekadar berfungsi untuk melapik kaki agar tidak kedinginan dek terlalu lama menjejak jubin seramik mahupun mar-mar; apatah lagi kalau yang diimpot dari Itali dan seumpamanya.

Di kampung bukan tak ada karpet, orang kampung pun mampu membeli; tak pun anak yang di bandar tolong belikan; tak pun kerana membeli yang baharu dan yang sedikit usang terpakai diposkan ke kampung. Namun bila kenduri kendara, tamu yang bertandang tak pula hendak duduk atas karpet yang siap terhampar cantik tu, lebih-lebih lagilah yang datang awal untuk menolong mengupas kentang, memotong lobak, menghiris bawang atau memipis lada. Kalau yang menyiang ikan atau menakik tulang rusuk tak payah cakaplah.

Nak bersila atas simen - sejuk, entah-entah kotor berabuk; bersimpuh atas karpet tak sesuailah pula dek kita nak menumis; duduk dikerusi terasa segan, kita bukan tetamu khas sekadar orang kebanyakkan. Maka tegak-tegak ajalah tetamu yang datang. Kalau tak dibentangkanlah tikar selembar dua, harus tak jadi kerja sampai ke petang. Itulah sebabnya mak tak jemu-jemu membeli tikar yang pelbagai, sesuai untuk sebarang persekitaran.

Almaklumlah, dibandar mana ada orang buat kerja-kerja macam ni dah, semua dah siap berpek, berbungkus. Kerja-kerja dibuat berdiri dan dengan bantuan teknologi moden. Tak perlu dah duduk-duduk, bersila atau bersimpuh. Yang perlu membantu pun tak perlu ramai. Cukup tiga empat orang. Ramai-ramai pun borak yang lebih, kerja tak jalan. Lepas tu sibuk bertanyakan ini di mana, itu kat mana. Belum lagi masuk bab menyediakan makan minum yang kononnya datang menolong. Yang tak syoknya boleh tanya ada pisau tak. Dah tahu datang nak mengupas bawang, bawalah kok sebilah. Silap-silap haribulan nak buat kenduri kesyukuran, dosa pula yang terhimpun.

Berbalik kita pasal alas duduk tadi. Begitulah kalau di bandar, kalau susah-susah sangat kontrak katering, habis cerita. Lantai tak lecah, parmaidani pun tak cemar. Rang suri pun bolehlah siap-siap melaram dari pagi sampai petang. Nak kesalun set rambut, manicure, pedicure, dan apa-apa cure pun silalah dulu. Balik rumah, selesai event, kalau kotor karpet angkara katerer, hantar dobi. Bil suruh katerer lunaskan ataupun potong kos yang dijanji. Kalau katerer protes, saman.

Tapi jangan tak tahu tikar pun dah naik taraf juga di bandar; jangankan bandar, dah sampai ke negara asing ia menjelajah. Tikar sekarang dah banyak yang panjat dinding, sebagai wall paper atau hiasan yang dibingkai, bukan lagi sekadar alas tempat duduk. Itu belum lagi yang diilhamkan sebagai lapik gelas dan pinggan mangkuk, beg kelek, beg sandang, tas tangan dan segala macam lagilah.. Pendek kata bila dah dijenama semula, pandangan masyarakat terhadap tikar pun turut berubah.

Satu lagi tikar lazim, tikar sembahyang. Den_nai tengok rang suri kalau nak menghadap ALlah tu bukan main lagi alas-beralas tempat berqiam-sujud. Tak cukup tikar mengkuang dilapik lagi tikar getah, dilapis pula ambal tebal. Lantai seramik yang sudah cukup cantik tu pun tak memadai. Entah berapa layers baru selesa! Seolah-olah sembahyang yang diterima berlandaskan betapa dalam tenggelamnya hidung terperosok ke permaidani tersebut. Sila-silap langsung hangus dek 7 anggota sujud tidak mencecah ‘lantai’.

Yang pasti tikar akan tetap selari dengan budaya Melayu walau di mana atau ke mana arah bangsanya. Kata orang sekali air bah sekali pantai berubah; namun yang satu ni agak tegar sikit untuk kalih. Kalau rang suri masih ingat atau rajin membaca dan mendengar kisah-kisah dulu, ketika itu setiap anak lahir pasti beralaskan tikar; akan tetapi sehingga kini perginya seorang anak Melayu masih terlihat beralaskan tikar.

“Yalah Mak, nanti kalau den_nai balik kampung mentua den_nai belikan lagi selembar dua untuk koleksi Mak”.