Wednesday, November 25, 2009

sesekali bermentua

Bertani ke huma mengikat jerami,
....Menginding tempua di tubir tingkap;
Hati berbunga mendapat suami,
....Diiring mentua hadir melengkap.


Mentua atau mertua, apa bezanya? Yang berbeza cuma ejaan dan sebutannya sahaja, maknanya tetap sama; ibu atau bapa kepada pasangan yang dinikahi. Sebaik sahaja selesai ijab-kabul, bermentualah rang suri. Apa jelling-jeling dan senyum sumbing? Den_nai belumpun meleret tulis lagi…

Usikkan den_nai kali ini tentulah mengenai jalinan hubungan antara rang suri dan rang suri juga. Mentua dan menantu perempuan. Andai damai dan tenteram, sebulu dan sefaham, bahagialah sang adam – si anak merangkap sang suami. Dibuatnya hodoh perangai dan suka berdendam, “…langkah mayat aku dulu, pergi jahanam!”, alamat meranalah badan.

Dalam masyarakat Melayu, lazimnya sang adam akan melangkah masuk ke dalam keluarga rang suri; kalau orang Noghori, apatah lagi kalau rang suri yang bongsu sekali, situasi ini hampir pasti. Di sini den_nai tak nampak sebarang masalah. Sang adam yang bersemenda sebegini biasanya cool sahaja.

Seperti lancang, mana mungkin ia diterajui dua nakhoda; begitu jugalah sesebuah rumah tangga, mesti ada surinya. Persoalannya, siapa yang harus beralah? Bagi den_nai, rasionalnya mudah. Sekirannya sang suami membawa isteri masuk ke rumah ibunya, mentualah surinya. Begitu pula sebaliknya. Kalau ibu dibawa masuk ke istana sepencarian, menantulah surinya. Namanya pun rasional; bila diadukkan emosional, kalau tak kena gaya, sehari-harian seisi keluarga meniti bara api.

Dek kerana itulah orang tetua dahulu berpesan supaya carilah rumah yang berasingan dapurnya. Lagipun bila sering berjauhan, sesekali bertemu wangi baunya. Tapi ada juga ibubapa yang mengusulkan dan memahukan anak-menantu tinggal bersama sementara belum berjumpa rumah yang sesuai dan selesa. Pokok pangkalnya tanyalah diri sendiri yang mana padan; berkenan di hati dan ngam di poket sendiri.

Yang paling den_nai meluat mendengar apabila rang suri berseloroh (kononnya), “…my MIL is coming over…”, sambil mata membelalak menjuling ke atas, sinis, mengeluh dan sedikit tidak acuh. Ini sikap orang barat yang wajar disisih. Ini bukan budaya kita. Mentua itu ibarat ibu sendiri yang wajib dirai. Memanglah tak serupa tapi tanpa mereka dari mana terbitnya suami-suami rang suri?

Dan rang suri yang berstatus mentua pula, usahlah direbut anak lelaki tu, biarpun seorang itu sahaja yang ada. Andai telah terdidik benar agamanya, 3 kali kasih ibu dicampur sekali sayang pada ayahnya, barulah tiba giliran sang isteri (menantu). Tangga kelima tu! Ini sunnah Rasullulah. Takkan rang suri tak pernah dengar? Biar betul!

Bagi rang suri yang bergelar isteri, tak perlu rasa kecewa kerana memahukan perhatian setelah puas rang suri berkiblatkan sang suami; sang adam masih bekalih pada ibu sendiri. Kalau diikutkan hati memang tak adil. Sekali lagi den_nai ingatkan – rasional dan bukan emosional. Akan tiba giliran rang suri bertukar status daripada menantu kepada mentua. Sabar.

Jadi, janganlah diempunyakan sang suami dari ibunya. Dijamin tak selamat. Tak percaya, cuba tengok Kassim Selamat. Tapi itu cerita lain dan gendernya juga turut berbeza. Namun rang suri tentu tak mahu menjadi Nyonya Mansoor kan?

Semolek-moleknya mentua itu dibuat teman sejati. Mereka lebih mengenali hati budi suami rang suri. Masakan tidak, rang suri cuma ‘take over the premises’ selepas sang suami siap dibentuk dan ditempa menurut acuan mentua sehingga rang suri berkenan. Untuk mengetahui selok-belok dan kesinambungan peribadi sang suami, ke mana lagi hendak dirujuk kalau bukan pada mentua?

Di sisi agama, letak duduk mentua teramat tinggi sehingga menjadi mahram, berstatus ajnabi – tidak boleh dinikahi. Bersentuhan dengan mentua tidak membatalkan wudhu’ tetapi dengan pasangan tidak begitu. Andai agama menyanjungi taraf mentua, mengapa rang suri memandai-mandai mencela dan mencalarnya pula? Sahlah tohor pembelajaran, dangkal pemikiran dan cetek pemahaman. Sering-seringlah mendengar ceramah agama di televisyen mahupun di radio; kalau dah malas sangat membaca. Ini tidak, habis drama, sinetron; habis sinetron, drama! Bilalah otak tu nak mewah ilmu?

Jodoh pertemuan manusia di tangan Allah. Benci atau menyampah macamanapun itu tetap mentua atau menantu rang suri. Hidup inipun sekadar yang terizin, bukan selama-lamanya nak menongkat langit.

Ingatlah, suatu hari nanti rang suri akan bergelar mentua juga, mudah-mudahan. Kata orang, naik pangkat. Tuhan sekarang bayar tunai atas segala perbuatan kita; segalanya terbalas di dunia dan tak perlu tunggu di akhirat. Jika senget-benget rang suri melayan mentua sekarang, 20 atau 30 tahun akan datang dapat pula layanan condong dan hampir rebah dari menantu, jangan pula terlolong-lolong marah menyumpah. Kira hutang beres, sudahlah! Adil kan?

Usah jadi menantu hantu dan berubah menjadi mentua gila mengada-ada di hari tua.