Monday, December 28, 2009

sesekali bercermin

Mentari ufuk desiran angin,
....Air di tebat riak berbayang;
Sehari suntuk mengadap cermin,
....Diri dilihat tak nampak yang kurang.

Andai satu survey dibuat, den_nai yakin teman paling akrab rang suri adalah cermin. Tapi bukan sekeping yang diusung selalu, malah beribu biar di manpun bertemu; pandang pertama mesti berkenan punya. Lipstik jatuh nombor dua – ini topik mandiri, lain kali den_nai sentuh.

Bangun pagi, cerminlah yang dicari, ditatap dahulu. Molek jugalah sebab tak ramai yang dianugerah Allah wajah berseri di awal pagi. Paling tidakpun di subuh-subuh sepei begini disisir sedikit rambut tu; kalau kembang mengerbang, sang suami pun tak sudi memandang; inikan pula lain orang.

Masuk ke kamar mandi, bercermin. Regimen scrubbing, exfoliating, memberus gigi, kekumur dan sebagainya mesti ditunaikan. Kalau ada jerawat mesti dirawat atau dilecet dahulu. Selesai bersiram, melangkah keluar, dijeling cermin tu. Silap-silap sambil mandi menatap cermin. Patutlah cermin di kamar mandi bergelar vanity mirror. Sesuai benarlah!

Kembali ke bilik tidur. Selesai sembahyang dan berpakaian, terus terjelopok depan dressing table. Apa lagi mengadap cerminlah! Kalau bertuah dressing table ini ada cermin berkembar tiga, mampu disetarakan untuk melihat pandangan 270o. Paling koman bertapa di sini 20 minit. The basic routine, 3’s in 4 steps – cleanser-toner-moisturizer; concealer-foundation-blusher; eye shadow-eye liner-mascara; lip liner-lipstick-lip gloss.

Oops, rambut dan tudung! Andai rambut fiilnya bermacam; kalau tudung anekanya beragam. Another 15 minutes please. Ini juga topik mandiri. Nanti, belum selesai! Putar, ngendeng, lenggok, lentuk, bercekak dan segala posing; manalah tahu kalau-kalau ada benda yang out of place - terjuntai rambut di luar tudung, terkelepet baju di bahagian punggung, kain berlipat tersingsing tergantung. Tambah 5 minit lagi. Jika cermin tu boleh berkata-kata, mesti ia dah menyindir, “..pada-padalah tu…”

Den_nai yakin mesti ramai yang tak berdoa semasa bercermin. Bukan susahpun; tak perlu berbahasa asing. Cukup sekadar rang suri faham apa yang rang suri harapkan. Apa guna berbahasa asing andai sebutannya kabur dan maksudnya hancur? Mudah, “Ya Allah kau elokkanlah pekertiku sebagaimana kau mengelokkan rupa parasku” Beauty should not be skin deep. Usahlah kerana terlampau nak cantik, hingga hilang peribadi ketimuran rang suri. Alangkah ruginya…

Turun tangga. Berhenti sekejap di pelantar, landing kata orang putih. Di sini strategik untuk becermin. Bukan apa, better to be save than sorry. Membelek lagi. Bersarapan pun begitu (Sarapan dah tersedia, ada pembantu – juga topik mandiri) Sambil menyuap, kerling juga refleksi diri di kaca almari.

Sebelum keluar rumah ada cermin. Tatap lagi. Masuk kereta; andai penumpang turunkan visor mirror, kalau rang suri memandu pulas rear view mirror, takpun dijenjang leher sedikit. Tengok cermin wajib. Dipintu tadi tengok pakaian, dalam kereta checking lipstik dan facial make-up. Al-maklumlah, kan baru sarpan tadi. Kenalah touch-up, masakan dibiarkan diri sememeh selekeh.

Cukup dahulu bicara setakat masuk ke dalam kereta . Itu baru dalam persekitaran rumah. Di luar tu, mak oi! jangan ceritalah. N’dak n’daknya di shopping complexes; sepastinya rang suri terasa di syurga dunia – melihat diri dilihat sendiri. Narcissism yang amat terlampau!

Awas! Jangan tak tahu, rang suri sekarang dah ada persaingan hebat! Tetapi usahlah rang suri rasa rendah diri ataupun rasa tercabar. Wujud kini sang adam bergelar metroseksual memberi tamparan. Segala aneka bahan tatarias yang rang suri miliki, yang compatible turut dipunyai oleh kelompok ini. Alasannya rapi meng-compliment maskuliniti. Dan sang adam inipun tanpa segan silu mendampingi cermin sebagai teman sejati. Sungguh!

Dan cermin pendamping yang paling setia antara yang setia ialah compact mirror. Sentiasa mene-mani sepanjang masa di mana jua. Ini baru betul never leave home without it! Bukanlah rang suri namanya andai tiada berkepunyaan barang sebuah. Biarpun compact powdernya dan kehabisan; selagi tak diganti, digendong juga cermin tersebut. Janganlah rang suri nak berbohong. Rang suri junior belum bertadika pun dah pandai membimbitnya ke hulu ke hilir; inikan pula yang dah berkarier sendiri.

Namun bak kat ustaz, sebaik cermin adalah cermin diri. Bukan nya pembalikkan bayang dari kaca-kaca di sekeliling tetapi melihat jauh ke lubuk hati dan sanubari. Kira muhasabah dirilah. Perelok dan perbetul mana-mana yang patut. Biar cantik rang suri bukan sekadar luaran malah sebati dan terpatri dikalbu.

“Ayu; pandanglah abang ni kejap. Ini asyik tengok cermin aje!”

“Samalah kita bang. Abang tu pun ngadap cermin jugak 24 jam; cuma namanya aja lain - skrin; kalau tak t.v., komputer!”

Wednesday, November 25, 2009

sesekali bermentua

Bertani ke huma mengikat jerami,
....Menginding tempua di tubir tingkap;
Hati berbunga mendapat suami,
....Diiring mentua hadir melengkap.


Mentua atau mertua, apa bezanya? Yang berbeza cuma ejaan dan sebutannya sahaja, maknanya tetap sama; ibu atau bapa kepada pasangan yang dinikahi. Sebaik sahaja selesai ijab-kabul, bermentualah rang suri. Apa jelling-jeling dan senyum sumbing? Den_nai belumpun meleret tulis lagi…

Usikkan den_nai kali ini tentulah mengenai jalinan hubungan antara rang suri dan rang suri juga. Mentua dan menantu perempuan. Andai damai dan tenteram, sebulu dan sefaham, bahagialah sang adam – si anak merangkap sang suami. Dibuatnya hodoh perangai dan suka berdendam, “…langkah mayat aku dulu, pergi jahanam!”, alamat meranalah badan.

Dalam masyarakat Melayu, lazimnya sang adam akan melangkah masuk ke dalam keluarga rang suri; kalau orang Noghori, apatah lagi kalau rang suri yang bongsu sekali, situasi ini hampir pasti. Di sini den_nai tak nampak sebarang masalah. Sang adam yang bersemenda sebegini biasanya cool sahaja.

Seperti lancang, mana mungkin ia diterajui dua nakhoda; begitu jugalah sesebuah rumah tangga, mesti ada surinya. Persoalannya, siapa yang harus beralah? Bagi den_nai, rasionalnya mudah. Sekirannya sang suami membawa isteri masuk ke rumah ibunya, mentualah surinya. Begitu pula sebaliknya. Kalau ibu dibawa masuk ke istana sepencarian, menantulah surinya. Namanya pun rasional; bila diadukkan emosional, kalau tak kena gaya, sehari-harian seisi keluarga meniti bara api.

Dek kerana itulah orang tetua dahulu berpesan supaya carilah rumah yang berasingan dapurnya. Lagipun bila sering berjauhan, sesekali bertemu wangi baunya. Tapi ada juga ibubapa yang mengusulkan dan memahukan anak-menantu tinggal bersama sementara belum berjumpa rumah yang sesuai dan selesa. Pokok pangkalnya tanyalah diri sendiri yang mana padan; berkenan di hati dan ngam di poket sendiri.

Yang paling den_nai meluat mendengar apabila rang suri berseloroh (kononnya), “…my MIL is coming over…”, sambil mata membelalak menjuling ke atas, sinis, mengeluh dan sedikit tidak acuh. Ini sikap orang barat yang wajar disisih. Ini bukan budaya kita. Mentua itu ibarat ibu sendiri yang wajib dirai. Memanglah tak serupa tapi tanpa mereka dari mana terbitnya suami-suami rang suri?

Dan rang suri yang berstatus mentua pula, usahlah direbut anak lelaki tu, biarpun seorang itu sahaja yang ada. Andai telah terdidik benar agamanya, 3 kali kasih ibu dicampur sekali sayang pada ayahnya, barulah tiba giliran sang isteri (menantu). Tangga kelima tu! Ini sunnah Rasullulah. Takkan rang suri tak pernah dengar? Biar betul!

Bagi rang suri yang bergelar isteri, tak perlu rasa kecewa kerana memahukan perhatian setelah puas rang suri berkiblatkan sang suami; sang adam masih bekalih pada ibu sendiri. Kalau diikutkan hati memang tak adil. Sekali lagi den_nai ingatkan – rasional dan bukan emosional. Akan tiba giliran rang suri bertukar status daripada menantu kepada mentua. Sabar.

Jadi, janganlah diempunyakan sang suami dari ibunya. Dijamin tak selamat. Tak percaya, cuba tengok Kassim Selamat. Tapi itu cerita lain dan gendernya juga turut berbeza. Namun rang suri tentu tak mahu menjadi Nyonya Mansoor kan?

Semolek-moleknya mentua itu dibuat teman sejati. Mereka lebih mengenali hati budi suami rang suri. Masakan tidak, rang suri cuma ‘take over the premises’ selepas sang suami siap dibentuk dan ditempa menurut acuan mentua sehingga rang suri berkenan. Untuk mengetahui selok-belok dan kesinambungan peribadi sang suami, ke mana lagi hendak dirujuk kalau bukan pada mentua?

Di sisi agama, letak duduk mentua teramat tinggi sehingga menjadi mahram, berstatus ajnabi – tidak boleh dinikahi. Bersentuhan dengan mentua tidak membatalkan wudhu’ tetapi dengan pasangan tidak begitu. Andai agama menyanjungi taraf mentua, mengapa rang suri memandai-mandai mencela dan mencalarnya pula? Sahlah tohor pembelajaran, dangkal pemikiran dan cetek pemahaman. Sering-seringlah mendengar ceramah agama di televisyen mahupun di radio; kalau dah malas sangat membaca. Ini tidak, habis drama, sinetron; habis sinetron, drama! Bilalah otak tu nak mewah ilmu?

Jodoh pertemuan manusia di tangan Allah. Benci atau menyampah macamanapun itu tetap mentua atau menantu rang suri. Hidup inipun sekadar yang terizin, bukan selama-lamanya nak menongkat langit.

Ingatlah, suatu hari nanti rang suri akan bergelar mentua juga, mudah-mudahan. Kata orang, naik pangkat. Tuhan sekarang bayar tunai atas segala perbuatan kita; segalanya terbalas di dunia dan tak perlu tunggu di akhirat. Jika senget-benget rang suri melayan mentua sekarang, 20 atau 30 tahun akan datang dapat pula layanan condong dan hampir rebah dari menantu, jangan pula terlolong-lolong marah menyumpah. Kira hutang beres, sudahlah! Adil kan?

Usah jadi menantu hantu dan berubah menjadi mentua gila mengada-ada di hari tua.

Tuesday, October 20, 2009

sesekali berhutang

Bintang terang perahu dilayar,
....Dagang senteri tiada kembali;
Hutang piutang tak mahu dibayar,
....Hutang budi tak siapa peduli.

Ungkapan mahupun soalan “…siapa hidup tak berhutang…?” memang biasa didengar. Jika adapun jawapan tidak, bilangannya sedikit dan amat payah ditemui; setidak-tidaknya dalam lingkungan pergaulan den_nai. Yang den_nai maksudkan tentulah orang dewasa dan bukannya anak-anak kecil.

Hah! Rang suri, janganlah nak berselindung pula, mengaku sajalah. Dari sekecil-kecil anting-anting hinggalah segadang-gadang rumah yang kita lindung-berteduh, banyak yang terhutang. Berilah apa jua nama sekalipun – kredit, pinjaman, ansuran, jual-beli, pajak-gadai, hatta kutu-kutu sekalipun ia tetap hutang! Tak usahlah nak berdolak-dalik. Tapi janganlah rasa rendah diri, sang adam pun dua kali lima serupa; kalau tak seinci, sekeliling pinggang.

Sewaktu kecil dahulu, den_nai tak pernah nampak sang adam berhutang dan yakin sang adam tak berhutang. Yang den_nai nampak rang suri sahaja yang sentiasa berbahasa, “…hujung bulan ya Apek”, “…kira dulu ya Bai”, “…masuk buku ya Kak Aji” dan sebagainya kepada cina sayur, bhai roti atau mak cik diwarung tepi jalan.

Sekali sekala bertandang tamu yang mulanya asing, langsung akrab dek datang setiap bulan, menagih ansuran. Mana tidaknya, kalau nak dibayar selepuk-selepap tak berduit; tak diambil tak merasa, dibiar berlalu takut kempunan dikhuatiri pula mati beragan. Mati beragan ni bagi yang tak tahu ialah beragai suri. Pun tak pernah dengar? Maknanya seakan-akan mati tetapi sebenarnya tidak. Suai benarlah tu rang suri - beragai suri, siang sasar terlopong, malam mengigau mengidam.

Den_nai tak salahkan rang suri. Namanya pun suri, penyeri rumahtangga, di rumahlah bertakhtanya. Tidaklah rang suri keluar mencari melainkan orang datang mempamer dan mempromosi dari rumah ke rumah. Akan tetapi itu rang suri generasi terdahulu. Rang suri alaf baru telah bertukar rupa berubah wajah. Isinya, rang suri juga; jangan tertipu. Sekarang tak perlu menanti hutang datang singgah, sebaliknya rang suri akan keluar memburu mencatur hutang.

Buku 555 dah lapuk ketinggalan tetapi konsepnya dikemaskini sesuai dengan teknologi; apa lagi kalau bukan kad kredit. Cuma rang suri aja yang keliru akan faedahnya yang betul-betul tak ada faedah; bunga yang bukan sahaja tak cantik malah harum beracun. Seperti yang tadi, sebutanyang ini juga lain, bendanya itu juga malahan lebih teruk lagi. Terminologinya berganti, bunyinya sedap didengar supaya rang suri menipu diri yang diri tidak tertipu…

Bila difikirkan elok lagilah buku 555 dahulu. Yang ada hutang pokok saja, bunganya tak berputik langsung. Tambahan pula tak perlu dilunaskan terus pada penghujung bulan atau dikenakan bayaran minimum. Denda lewat bayar jauh sekali. Andai tersisa tidak pula terbeban dengan faedah ke atas faedah. Namun pasal nak jaga prestige, leret jangan tak leret. Kalau dapat biar yang gold atau platinum card dan pastikan lagi ramai kelibat yang melihat lagi bagus; 18% per anum tolak tepi.

Sang adam tak main hutang kecil-kecil ni. Apalah sangat setakat pinggan mangkuk, Tupperware, atau alat solek - gincu selohong dua tu apa kelas. Terus ke bank, isi borang - credit finance, loan financing, credit facilities, hire purchase dan segala macam jargon lagilah menjanjikan hutang seumur hidup; kalau mati sebelum hutang langsai, hutang hingga ke anak cucu.

Walau apa sekalipun rang suri, ukurlah baju di badan sendiri. Janganlah berserebeh labuhnya atau sendat singkatnya. Berbelanja semampu ada. Berhutang untuk menuntut ilmu kalau dapat dielakkan. Ini bukan setakat PTPTN, nak bertunang berhutang, nak nikah, meminjam; arakian nak beranakpun masih nak berhutang! Tak perlulah nak keep up with the Joneses, kata orang putih. Orang berada, kita apa ada! Jangan sampai chetti datang mencari, rang suri sembunyi; ah long memanggil mencaci, rang suri cabut lari. Itulah bila meminjam, buat-buat lupa. Sekarang peminjam bukan macam dulu - malu nak minta, lagi dibambunya ada! Payah dan parah hidup.

Itu semua baru hutang materi dah lintang-pukang, belum lagi hutang-piutang yang intangible, yang sukar nampak dan tidak nyata. Hutang pada diri sendiri, pada sesama insan dan pada tuhan. Dah terbayar ke, dah dilunas ke, atau masih tertangguh, teragak-agak dan terhegeh-hegeh melangsaikan hutang-piutang tersebut? Yang den_nai maksudkan adalah hutang janji, budi, bakti, jasa, tenaga, wasiat dan seumpamanya.

Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa. Itu dulu, sekarang; orang memberi, kita pangkah aja. Ada beberapa maksud disitu. Tapi yang jelas, rang suri kena peka dengan persekitaran. Jagan buat ‘derk’ aja. Berbaik sangka, taburkan bakti dan budi merata-rata. Bukan rugi pun. Wang memang tidak semua yang ada namun kuderat, di usia muda semua orang ada. Laburkanlah, agih-agihkanlah. Contoh paling sesuai semasa kenduri-kendara. Datang rewang, bawalah pisau menghiris lada dan bukannya sekadar bawa mulut menambah dosa.

Menyentuh sedikit perihal berkenduri ini, orang dahulu mengamalkan sistem ‘tanam dan bayar’. Adakan rang suri sekarang mengamalkan budaya ini? Amaal! Dengarpun tak pernah. Halusnya orang dahulu memberi pendahuluan tanpa dipinta dan 100% tidak menagih pemulangannya (mungkin sedikit mengharap). Yang menyimpan buku kira-kira itu adalah tuan rumah, tiada juru audit. Jarang sekali ada yang menuntut ‘tanam’nya – beras, minyak, telur, tepung dsb. dibayar Di sinilah budi orang dahulu yang tidak tertanding sekarang.

Bagaimana pula berhutang dengan tuhan. ALlah itu maha kaya. Pintalah apa juga, insys”ALlah diberinya. Rang suri aja yang buat-buat lupa atau sememangnya ada penyakit amnesia yang tiada surutnya. Tak lama lagi nak raya, berhutang juga. Buka sekolah nanti, berhutang lagi. Hah! Hutang puas dah qada? Dah kena fidyah tu! Subuh pagi tadi tersasar; dah lunas? Bentang sejadah tu cepat.

Silap-silap sejadah parsi tu pun belum habis bayar…

Tuesday, August 4, 2009

Sesekali bertudung

Anak gadis berkurung katup,
......Jalan bertiga berbisik kata;
Segak manis bertudung litup,
......Sopan bergaya cantik jelita.

60-an dan sebelumnya.

Menjadi kemestian bagi anak gadis yang telah akhil baligh tatkala berjalan keluar rumah mengenakan kain selendang. Itu kalau ada keramaian. Pada hari-hari biasa sehelai batik sarung basahan dikalungkan ke leher lalu dikembangkan menutupi kepala. Anak rambut berjuntai di dahi sementelahan tocang yang tejalin panjang terjulur terjuntai ke aras pinggang.

Selain dari kesantunan gaya semasa, sarung batik ini turut memainkan peranan sebagai payung pelindung terik cahaya matahari. Andai di kedinginan pagi, sarung batik akan beralih tugas menyelimuti tubuh meng-hangat badan. Turut diperlaku, tudung sebagai tabir menepis raut dari pandangan tajam sang adam. Akan terperlihara dan bertambah serilah rang suri.

Bertudungkah ini? Den_nai rasa tidak.

70-an.

Skarf mula menampakkan diri di dekad ini. Yang terlilit di leher atau sebagai cekak mahupun reben pengikat rambut adalah kebiasaan . Menjadi eksesori pada busana. Menarik apabila sering dilihat sebagai tudung segitiga yang lazim dipakai oleh rang suri berusia 35 tahun ke atas.

Skarf tadi dilipat dua bersilang bucu lalu diserkupkan di kepala, diikat pula pada tengkuk dua bucu lagi yang bertentangan. Namanya pun scarf; kain panjang sejengkal – yang tertudung hanyalah bahagian tengah kepala. Rambut di dahi dan ubun-ubun masih nampak sebegitu jugalah rambut bahagian belakang terjurai lepas.

Bertudungkah ini? Belum lagi.

80-an.

Tudung dakwah! Masih ingat? Penggunaan perkataan dakwah yang disempitkan. Seolah-olah dakwah itu cuma pada tudung dan tudung sahaja yang berdakwah. Alahai! Tapi tak mengapa. Den_nai rasa pada dekad inilah arus bertudung mula bangkit. Yang jelas tudung kali ini agak litup pemakaiannya. Segala rambut dan anak-anak rambut kemas tersimpul di dalam tudung. Ini turut terbawa kepada baju dan kain yang dikenakan. Yang kelihatan cuma raut wajah dan dua telapak tangan.

Sungguhpun begitu pada kelompok masyarakat tertentu mereka masih boleh dibilang dengan jari. Andai rang suri di Universiti, Kolej mahupun sekolah asrama penuh, sudah pasti 100% terpilih sebagai ketua Hal Ehwal rang suri berpotfolio keagamaan. Tak boleh tidak jawatan ini terpaksa disandang. Pendek kata, rang suri yang bertudung ini pasti banyak ilmu agamanya.

Dipertengahan dan penghujung dekad ini ternampak aliran menyongsang arus. Ramai rang suri kembali ke tanah air dari negera-negara barat pulang berlitup. Maka tersohor pulalah istilah-istilah jilbab, hijab, purdah, chador dan seumpamanaya. Bilangan yang digelar “ninja” juga terus meningkat. Tak kurang juga anak-anak yang takut pada “hantu kum-kum”.

Bertudung atau kesedaran? Entahlah.

90-an.

Sekolah agama rakyat semakin bercambah di seluruh negeri di Malaysia. Jika dulu pada tahun-tahun 70-an hanya popular di beberapa negari sahaja terapi kini perkembangannya semakin menyeluruh di serata Semenanjung. Di Sekolah Kebangsaan Rendah dan Menengah anak-anak gadis tidak diwajibkan namun digalakkkan bertudung. Maka bertudunglah anak-anak disekolah. Yang tak moleknya, selesai aja sekolah, tudung lucut entah kemana!

Kesedaran atau berfesyen? Serasa terpaksa dan dipaksa.

Alaf baru.

Wardina, Waheeda, Bienda, Siti dan terbaru Ekin disinonimkan dengan gaya tertentu bertudung. Itu belum lagi jenis kain yang dipakai; nipis, lembut, satin, kasar, jarang, sutera dan maha pelbagai. Bersaiz besar, memanjang, sarong-pakai, pasang-siap, selapis, dua lapis, hatta multi-layered and muilti-coloured pun ada! Itu belum sentuh bab jurai, lace, sulam, manik, labuci dan batu-batu kaca dan cermin yang bergemerlapan. Berkancing di dagu, berpeniti di pinggir dahi, berkeronsang di bahu, berkelip di pipi, bersemat di kepala, bersangkak di dada serta segala ilham pintalan yang tak ter- klasifikasikan. Oh! Leher dilihat jinjang, jambul sejambak, rantai memancar, subang kemilau. Pulak!

Yang menjelek pandangan, rambut tertutup tetapi busana mendakap kemas menzahir setiap inci alun kujur tubuh. Setahu den_nai selain rambut, aurat turut menuntut agar dilabuhkan tudung ke paras dada serta berpakaian tidak menyerlah susuk badan. Akan tetapi sekarang yang kelihatan semakin ramai juga rang suri yang berkemeja-T lengan pendek dan berstretchable jeans. Tudung tetap maintain! Itulah jadinya bila berfesyen mengikut orang dan bukannya menurut ilmu pengetahuan!

Kewajipan? Hmm. Pakai tudung saji ajalah…

Wednesday, July 8, 2009

Sesekali terlerai

.
Buah sentul pisang kaki,
...Hulurkan salak makan sedulang;
Usah dipukul terajang dan maki,
...Gugurkan talak hantarkan pulang.

Perkara halal yang dibenci agama. Keruntuhan sebuah masjid. Terlerainya sebuah ikatan hati yang pernah berjanji sehidup semati. Di mana silapnya, ke mana tersasarnya? Apakah petanda awal sudah terlihat dibuat-buat tak nampak? Atau tibanya gelora badai yang menerjah di tengah lautan tenang? Itulah rang suri, dah terhantuk baru nak terngadah; dahipun dah berlumuran darah.

Berpisah seperti yang digambarkan oleh pantun di atas? Lambatlah! Jangan bermimpilah rang suri! Beruntung kalau dapat satu calit talak; dibuatnya tergantung tak bertali, nak mengadu ke mana? Rang suri ni mudah alpa; andai segalanya baik-baik belaka dalam rumah tangga, tak pernah terfikir yang bala mungkin menimpa. Tak pernahlah nak bersiap sedia. Den_nai tak salahkan rang suri. Iyalah, dah semuanya berjalan lancar, buat apa nak difikirkan yang negatif, iya tak? Itulah puncanya. Hujan ke, panas ke, payung tu nak sentiasa disedia!

Sang adam ni, sekali diberi izin, empat kali mesti dikatakan tidak. Usahlah pula rang suri terang-terangan mengatakan tidak. Beralaslah sedikit. Umpamanya; “…betul abang nak buat begitu, janganlah bang”, “…Yah rasa tak sesuai benarlah bang”, “…anak-anak setuju ke?”, “… lain kali ajalah” dan sebagainya. Pandai-pandailah susun ayat. Sang adam kalau dibawa berlembut, dia lagi lembut; dibawa berkasar, dia lagi tegar. Ibarat kail mengena, ditarik-tarik dilepas-lepas. Jangan terjerut terus diragut. Takut nanti tak joran patah tali yang putus; tangkapan pun hilang terus.

Rata-rata rang suri kalau diberi pilihan tak mahu bercerai. Pada hemat den_nai ada beberapa sebab rang suri mempertahankan instituisi kekeluargaan ini. Yang pertama tentulah sayangkan suami yang teramat sangat. Taat tu boleh rang suri; hormatpun elok juga namun taksub tu jangan! Tetapi sebab yang paling ketara ialah takut pada stigma berstatus janda. Tak gitu? Apa lagilah kalau janda yang dah beranak-pinak. Khuatir nanti orang dah tak hendak!

Apalah ada pada nama. Okaylah, mungkin banyak. Dewasa ini pun title janda dah diberi ungkapan baru – ibu tunggal. Kulit aja lain, isinya itu juga. Lambat laun dicemuh juga. Bagilah ungkapan apa sekalipun, kalau dah janda tu janda juga. Lagi satu sebab mengapa title ini digeruni ini adalah kerana seolah-olah pemegang title ini ‘jahat’ orangnya walau mithali mana sekalipun. Perit berstatus janda ni!

Tak seburuk mana gelaran janda ni sebenarnya. Yang memburukkannya rang suri juga. Den-nai contohkan. Kalau ada tugasan berat yang memerlu kudrat, sang adam perlu tampil. Kalau tiada muhrim, diupah ke orang lain, orang mengata. Kalau ada sang adam yang ikhlas menolong, suami orang mahupun yang bujang, memang sah-sah dikata – diumpat dijaja segala cerita. Oleh siapa? Rang suri juga. Dikatakan penggoda, gatal dan seumpamanya. Itu sehalus tohmah, yang maha hebat lagi den_nai tak berani tulis. Rang suri lebih arif kerana rang suri yang sebut semua itu. Den_nai sekadar mendengar sahaja.

Dikhuatir juga anak-anak tak berbapa. Rang suri, bercerai sekalipun anak-anak tu tetap berayah. Terpulanglah pada sang ayah tu untuk melunas dan melaksanakan tanggung jawabnya. Malah lebih baik cerai bernafkah daripada bersuami yang tak pernah kenal rumah, anak langsung tak endah. Sang adam ni pun satu, beranak pandai, menjaga tak suai. Apa sang adam ni ingat erti beranak tu hanya khusus bagi rang suri yang ‘keluar’kan anak ke? Apa sang adam ingat anak tu boleh terus ada di situ tanpa sang ayah datang singgah? Anak tu amanah bukannya nak dibuat punah-ranah!

Yang paling den_nai tak faham ialah dah patah riuk tulang temulang serta lebam-lebam seluruh badan masih betah bertahan. Adakala dah tinggal nyawa-nyawa ikan masih beralasan bukan sang suami yang menyebabkan. Sudah-sudahlah tu rang suri. Beransur dan beredarlah. Tiada suami tak bermaksud hilang tempat bergantung. Rezeki datangnya dari ALlah bukan dari suami. Kalau adapun sekadar medium penghantar. Yakin dan percayalah pada yang satu.

Seperkara lagi, kalau dah jodoh setakat itu, usahlah disekat-sekat. Yang ini lebih menjurus kepada sang suami. Andai dahulu ambilnya dijemput; kini pulangnya silalah dihantar. Kalau nikahnya dulu diajak lari, rang suri menurut; dipinggir dicampak janganlah merungut. Sopan diambil, beradap dipulangkan; rampas dicuri, dicicir-cicirkan. Salah siapa? Berpisahlah secara baik dan terhormat.

Beringatlah. Anak-anak melihat dan akan bertindak-balas seadanya.

Wednesday, June 3, 2009

Sesekali memikat

.
Urat-urat sutera tenunan,
....Lekat selirat tali benang;
Ngorat-ngorat teruna pilihan,
....Dapat terpikat suami orang.

Disalahkan sang adam juga! Sang adam ni kalau tak disenggol, dia tak akan bergoyang. Pada hemat den_nai, memang rang surilah yang sering memulakan langkah pertama! Sang adam ni, ada mata dia tengok; ada mulut, sesekali dia becok. Dalam sepuluh yang betul-betul berani menegur menyapa si cantik manis anggun bergaya, cuma satu. Dua kalau dicabar. Selebihnya kalau segerombolan beranilah; kalau sendirian, mati hidup balik tak berani buka mulut. Penakut! Bukan takut apa, takut kena reject. Malu beb!

Kalau tak mahu sang adam terbelalak terbeliak, janganlah rang suri melampau berhias. Jalan melenggok, tumit tinggi berketuk. Surai mayang mengurai, haruman merapai. Itu belum masuk bab senyum meleret, mata melirik. Aduh! Bergoncang iman. Sang adam mana yang boleh tahan. Sepengecut manapun, boleh tertiup semangat bayu tujuh bukit. Apa lagi, mulalah dia meng’usha’, meng-ayat.

Klu bagi rang suri. Sang adam ni kalau confident aja dengan rang suri, ada beberapa kategori yang perlu diberi perhatian. Pertama, dia membesar dalam lingkungan orang perempuan – mak, nenek, adik, kakak, mak cik dan sebagainya. Dan terbiasa, dah tak kekok. Kedua, sang adam di dunia wanita. Choreographer, designer, coiffeur, jurusolek, pemilik butik dan seumpamanya. Sebab interaksi yang berterusan, dah suai benar dengan gelagat rang suri.

Ketiga, sang adam yang kecelaruan gender. Dek merasakan yang dirinya sebahagian dari rang suri, serasilah ia di alam sebegini. Siap bertepuk bertampar bagai. Memang ngam. Keempat, sang adam yang bergelar suami. Yang ini memang pakar dan arif amat perihal wanita, tambahan pula yang telah beranak sesusun jari. Memang dah hafal setiap skrip dan tindak tanduk rang suri. Sebaris debat rang suri, sepuluh silang jawab dan hala tuju perbincangan dia dah ada dalam genggaman.

Dari empat kategori ini den-nai rasa rang suri akan selesa dengan sang adam kategori ketiga. Malah mereka mampu menjadi rakan paling akrab dan pendengar paling setia akan setiap keluh kesah yang terbeban di hati. Akan tetapi yang kategori keempat lebih menawan dan mengasyikkan. Mampu melakukan seperti yang kategori ketiga, malah jauh lebih baik, siap dengan segala nasihat dan tunjuk ajar yang penuh meyakinkan. Di sini rang suri perlu berhati-hati kerana ditelunjuk yang lurus, tersongsong kelingking yang berkait. Awas!

Lidah tak bertulang. Bercakap memang senang. Namun malang bagi rang suri, sekali terjerat masuk perangkap memang sukar untuk lepas bebas. Yang mulanya tak suka boleh jadi angau seluruh badan. Yang asalnya dipandang hitam legam berubah hitam manis. Gigi rongak di gusi bawah kini seri pemanis wajah. Dulu sombong angkuh kini yakin tegas pendirian. Alahai! Telah kabur sungguh pertimbangan, hampir hilang kewarasan. Tak dapat dinasihat tak makan apa jua saman. Rang suri, apa dah jadi?

Berkawan biar seribu, berkasih biar satu. Itu perumpamaan orang dulu-dulu. Dah tak relevan. Berkawan tak kenal rupa, semua ditemu di alam siber. Kasih dikelek kehilir-hulu, kepit yang ini yang itu jangan tahu. Itu kononnya suai bagi sang adam. Rang suri tak mahu kalah. Kumbang bukan seekor katanya; nak dibelek segala bentuk yang ada – kumbang daun, kumbang gajah, kumbang kayu, kumbang kelapa, hatta kumbang bertanduk sekalipun ingin didekatinya. Itu belum bab warna dan dengungan bunyi sang kumbang. Tak ke gamat dibuatnya!

Dalam seribu takkan tak berkenan satu. Itu adatlah. Mujur satu, kalau dua tiga, bertambah haru. Yang menyebabkan rang suri gagal berpatah balik ialah bila hati dah sayang. Bab ini den_nai rasa rang suri memang bebal. Okaylah, bukan bebal tanpa pedoman tapi dah memang sejadinya begitu. Sifat penyayang yang keterlaluan, ala-ala sifat keibuan gitu; seolah-olah perbuatan sayang-menyayangi ini unstoppable. Berfikirlah dengan mata hati bukannya mati hati ditenggelami emosi.

Sang adam kalau dia rasa sahamnya melambung, dia tak khabar yang dirinya dah beristeri, pandai-pandailah rang suri bertanya kanan kiri. Kalau nanti bila dah terlalu intim dan menjadi, barulah tahu segala identiti. Bertanya rang suri, “…kenapa you tak bagi tahu I yang you dah kahwin?”. Dengan selamba terpacul jawapan, “…you tak tanya…”.

Dalam pada itu diteruskan juga melayan suami orang ni. Yalah, hati dah sayang…

Friday, May 8, 2009

Sesekali mengandung

Alunan pawana menyapa meranti,
....Lagu dendam menyentak perasaan;
Sembilan purnama bonda menanti,
....Rindu terpendam tidak tertahan.
.
Alahai! Seronoknya bila home pregnancy test kit menggariskan line biru. Positiflah tu. Apatah lagi ini untuk pertama kali. Lebih teruja kalau penantian selama 3, 5 mahupun 10 tahun berakhir. Ada juga yang berkerut dahi sambil mengetap-ngetap bibir; tak kurang juga yang merungut-rungut. Ini kes kandungan yang tidak dirancang atau sistem kawalan dan pencegahan gagal. Den_nai tak mahu menyelusuri cabangan ini. Mungkin di lain bicara.

Berkongsi berita tentulah dengan sang suami dahulu. Walaupun tidak diconfirmkankan oleh doktor bidan, seluruh Malaya dihebahkan juga. Mak, ayah, mentua, adik-beradik, ipar-duai, rakan baik, musuk ketat, collegue, acquaintance, associates dan sebagainya. Mana taknya, “…aku kini wanita sejati!” Tapi yang bunting pelamin tu malu juga nak beritahu orang, dibiarkan sahaja perut memboyot nanti yang mengkhabarkan. Hah! Itulah, gelojoh sangat. Tapi nak malu buat apa, perkara halal dan rezeki murah.

Nak bersalin di mana? Hospital berbayar atau hospital kerajaan? Kalau private tu classlah sikit tapi ada ke ongkosnya? Ada juga hospital persendiriantu kononnya top class tapi bila ada kes yang rumit sedikit disorongnya ke hospital awam juga sudahnya kerana kurang peralatan canggih. Hospital kerajaan sekarang tak kurang handal. Rang suri ajalah yang kena bersabar banyak. Apapun, tepuk dada, tanya selera.

Selera! Kini makan untuk dua orang, katanya. Alah! Rang suri, bukannya sang adam tak tahu. Itu sekadar alasan untuk melantak. Anything and everything goes. Blame it on the unborn child. Dan berniatlah di hati rang suri; “…esok dalam pantang kuruslah nanti” Berharap dan berangan tu berbeza rang suri. Berusaha pula belum tentu impian menjadi kenyataan. Berpada-padalah makan. Esok-esok anak dah dua tiga, badan semakin montel dikatakan; “…tengoklah pulak berapa ramai yang dah keluar…” Iyalah tu.

Yang pasti den_nai tengok rang suri ni bila mengandung, seri yang terpancar di wajah mereka bukan main lagi; tersangatlah menawan. Yang den_nai maksudkan seri yang asli dan bukannya yang ditepek tebal ½ inci tu. Hormone surgelah tu. Ditambah pula dengan keghairahan untuk menerima orang baru. Maka bertambah-tambahlah kemilau diri. Bukan setakat sang suami, suami orang pun mula puji memuji. Awas!

Dan dengan hormone surge itu jugalah mood swing rang suri ni melantun-lantun naik turun. Sekejap senyum, sekejap murung. Sesekali merajuk tak menang memujuk. Nak berguraupun kena tengok-tengok. Yang terkena tempiasnya tentulah sang suami. Kalau setakat marah-marah tu bolehlah tahan, ni yang sampai tak boleh tercium bau badan suami ni apa pula ceritanya? Dahlah kehendak sang suami tersukat-tersekat, disiah pula bagai dagang melarat. Ish! Ish! Ish!

Tapi bila nak bayar barangan bayi yang dibeli, boleh pula tekap hidung tahan nafas berdiri sebelah suami. Nak pitam bagaimanapun, bila wang terkipas depan mata hilang loya dan mual ditekak. Apa yang tak mahu dibeli? Dari sekecil putting hinggalah sebesar bilik sebuah hendak disediakan. Itu yang di dalam rumah. Keperluan outing belum dicongak lagi. Ingatkan masa berkahwin aja yang sanggup berhutang, rupanya nak beranak pun leret juga. Alamat kena barredlah kad kredit tu.

Den_nai nak ingatkan pada yang baru pertama kali nak bergelar ibu ni; tak perlulah semuanya serba baru dan dalam bilangan yang melampau. Dicontohkan baby cot, kalau ada saudara mara yang punya, pinjam dan refurbishlah. Bukan apa, benda ni bukannya pakai lama sangat. Begitu juga dengan pakaiannya terutama sekali barut. Eh! Orang sekarang pakai barut lagi ke? Bayi cepat membesar. Pejam celik dah tak muat. Berkemas tempohari terjumpa setokin bayi, baru, tak berpakai. Bertanya juga, “…bila beli ni?”. Iman Jauhari dah pun nak masuk 2 tahun.

Rang suri perliharalah tingkah laku semasa mengandung. Kata rang tua, sifat dan sikap anak akan menurun dari ibu yang mengandungkannya. Tapi kalau genetic make-up nyalah susah juga nak ubah walaupun dah ada teknologi sains yang meng‘halal’kan genetic selection. Dan kata rang tua lagi, sang suami pun kena turut bersantun adab, jangan sembarangan lepas laku. Tahyul atau pantang larang? Memperelok budi pekerti tak merugikan, kan?

Berlalu hari, maka berubahlah status rang suri. Dari budak hingusan kepada anak dara sunti; beralih tunangan kepada isteri dan seterusnya kini akan bergelar ibu. Alangkah bertuah dan bahagianya badan. Namun godaan rang suri tak terhenti setakat ini.

Selamat menempuh hari-hari bergelar ibu!

Friday, April 3, 2009

Sesekali menghampar

Tikar pandan tikar mengkuang,
....Duduk bersila tandang bertamu;
Beredar zaman bertukar pandang,
....Pupuk budaya sandang tak jemu.

Mak cukup suka membeli dan menghimpun tikar. Rumah di kampung bermacam-macam tikar yang mak beli. Dari yang seasli tikar mengkuang sehinggalah ke tikar yang terkini – tikar pandan, getah, lanolium, rotan dan tak ketinggalan buluh. Itu belum lagi saiz dan warna. Yang berlipat dua, berlipat tiga, bergulung, berlipat dan gulung dan macam-macam lagilah. Berkenan aja di mata mak. Kalau tak dibeli sendiri, dipesan bila kesempatan.

Tikar secara definisinya ialah hamparan daripada anyaman daun mengkuang dan sebagainya yang dibentangkan sebagai alas duduk. Yang peliknya ambal atau permaidani tidak pula digolongkan dalam kategori ini walhal ia memainkan fungsi yang serupa, sebagai alas duduk. Mungkin sebab ia bukan asli tradisional, ia lebih “tinggi” sedikit kedudukannya. Oleh itu ia lebih layak untuk untuk dilihat dan sekadar berfungsi untuk melapik kaki agar tidak kedinginan dek terlalu lama menjejak jubin seramik mahupun mar-mar; apatah lagi kalau yang diimpot dari Itali dan seumpamanya.

Di kampung bukan tak ada karpet, orang kampung pun mampu membeli; tak pun anak yang di bandar tolong belikan; tak pun kerana membeli yang baharu dan yang sedikit usang terpakai diposkan ke kampung. Namun bila kenduri kendara, tamu yang bertandang tak pula hendak duduk atas karpet yang siap terhampar cantik tu, lebih-lebih lagilah yang datang awal untuk menolong mengupas kentang, memotong lobak, menghiris bawang atau memipis lada. Kalau yang menyiang ikan atau menakik tulang rusuk tak payah cakaplah.

Nak bersila atas simen - sejuk, entah-entah kotor berabuk; bersimpuh atas karpet tak sesuailah pula dek kita nak menumis; duduk dikerusi terasa segan, kita bukan tetamu khas sekadar orang kebanyakkan. Maka tegak-tegak ajalah tetamu yang datang. Kalau tak dibentangkanlah tikar selembar dua, harus tak jadi kerja sampai ke petang. Itulah sebabnya mak tak jemu-jemu membeli tikar yang pelbagai, sesuai untuk sebarang persekitaran.

Almaklumlah, dibandar mana ada orang buat kerja-kerja macam ni dah, semua dah siap berpek, berbungkus. Kerja-kerja dibuat berdiri dan dengan bantuan teknologi moden. Tak perlu dah duduk-duduk, bersila atau bersimpuh. Yang perlu membantu pun tak perlu ramai. Cukup tiga empat orang. Ramai-ramai pun borak yang lebih, kerja tak jalan. Lepas tu sibuk bertanyakan ini di mana, itu kat mana. Belum lagi masuk bab menyediakan makan minum yang kononnya datang menolong. Yang tak syoknya boleh tanya ada pisau tak. Dah tahu datang nak mengupas bawang, bawalah kok sebilah. Silap-silap haribulan nak buat kenduri kesyukuran, dosa pula yang terhimpun.

Berbalik kita pasal alas duduk tadi. Begitulah kalau di bandar, kalau susah-susah sangat kontrak katering, habis cerita. Lantai tak lecah, parmaidani pun tak cemar. Rang suri pun bolehlah siap-siap melaram dari pagi sampai petang. Nak kesalun set rambut, manicure, pedicure, dan apa-apa cure pun silalah dulu. Balik rumah, selesai event, kalau kotor karpet angkara katerer, hantar dobi. Bil suruh katerer lunaskan ataupun potong kos yang dijanji. Kalau katerer protes, saman.

Tapi jangan tak tahu tikar pun dah naik taraf juga di bandar; jangankan bandar, dah sampai ke negara asing ia menjelajah. Tikar sekarang dah banyak yang panjat dinding, sebagai wall paper atau hiasan yang dibingkai, bukan lagi sekadar alas tempat duduk. Itu belum lagi yang diilhamkan sebagai lapik gelas dan pinggan mangkuk, beg kelek, beg sandang, tas tangan dan segala macam lagilah.. Pendek kata bila dah dijenama semula, pandangan masyarakat terhadap tikar pun turut berubah.

Satu lagi tikar lazim, tikar sembahyang. Den_nai tengok rang suri kalau nak menghadap ALlah tu bukan main lagi alas-beralas tempat berqiam-sujud. Tak cukup tikar mengkuang dilapik lagi tikar getah, dilapis pula ambal tebal. Lantai seramik yang sudah cukup cantik tu pun tak memadai. Entah berapa layers baru selesa! Seolah-olah sembahyang yang diterima berlandaskan betapa dalam tenggelamnya hidung terperosok ke permaidani tersebut. Sila-silap langsung hangus dek 7 anggota sujud tidak mencecah ‘lantai’.

Yang pasti tikar akan tetap selari dengan budaya Melayu walau di mana atau ke mana arah bangsanya. Kata orang sekali air bah sekali pantai berubah; namun yang satu ni agak tegar sikit untuk kalih. Kalau rang suri masih ingat atau rajin membaca dan mendengar kisah-kisah dulu, ketika itu setiap anak lahir pasti beralaskan tikar; akan tetapi sehingga kini perginya seorang anak Melayu masih terlihat beralaskan tikar.

“Yalah Mak, nanti kalau den_nai balik kampung mentua den_nai belikan lagi selembar dua untuk koleksi Mak”.

Friday, March 6, 2009

Sesekali berbatik

Berbaju kurung berkain batik,
....Warna sedondon rancak sepadan;
Ilmu diusung semakin cantik,
....Mulia dituntun anak watan.

Sepanjang hampir sedekad bergelar suami, tak pula terlihat akan Ayu membeli kain batik barang sehelai. Jangankan batik lepas, batik basahan pun tak pernah. Kalau sutera batik dan batik sepasang dibuat kurung, kebaya mahupun kebarung tu adalah. Bukan tak punya, ada. Itupun pemberian sanak saudara semasa kami mula-mula diijab-kabulkan dahulu. Kalau tak begitu mungkin saja tak bersarong batik sehingga sudah.

Barulah den_nai tahu yang orang Kelantan akan menghadiahkan sepasang kain (batik dan pelikat) bagi setiap pasangan pengantin baharu seandainya mereka datang berziarah atau bertemu mengenal saudara. Dapatlah kami hampir dua dozen seorang. Tak pula kami ganti-pakai selama tiga minggu berturut-turut. Sempat kering yang dipakai malam sebelumnya untuk dipakai berselang hari.

Den_nai pesan pada Ayu supaya berkain batik tatkala pulang ke Seremban. Dalam lingkungan keluarga terutamanya Mak tentulah lebih manis berbatik basahan, terserlah keayuannya nanti; langkah tersukat, simpuh beradat. Bertahan jugalah dalam 6 – 7 bulan. Lepas tu tiada lagi den_nai terlihat Ayu berbatik lenggang melenggok kecuali ketika hampir bersalin dan dalam pantang. Rupa-rupanya ipar-ipar di kampung yang sedikit mempengaruh; “…tak rimas ke?”. Alahai, ketimuran yang mula terungkai.

Berapa ramaikah agaknya anak gadis sekarang yang pandai mengikat kain batik, berselip ataupun bersimpul? Sedangkan yang di kampung dan pendalaman pun susah nak jumpa inikan pula di kota-kota metropolitan. Jangan haraplah! Andai ada yang berkain batik pun pasti yang disuai-padankan dengan baju polos dan kain kipas di sisi bersemat rapi dijahit seorang ahli. Nak harapkan diri sendiri pasti tak menjadi. Entah mana sisip entah mana kipas; silap haribulan kain lucut terlepas.

Lepas? Bagaimana pula dengan kain batik lepas? Tak tahu batik lepas? Batik lepas ialah kain selembar yang tak bertemu hujung, tak berjahit seperti batik sarong. Den_nai ingat anak-anak gadis sekarang dan juga kaum hawa pertengahan umur lebih senang memindah tugas pada tukang jahit, lebih praktikal katanya. Iyalah, buat apa bersusah payah; jimat masa, tiada curiga, anggun bergaya. Sarong dan kancing, siap. Tak perlu melipat-lipat, terlilit-lilit, mengikat-ikat.

Kalau diikut kaedah lama, ada kemungkinan naya. Melangkah dua tiga, terburai sudahnya. Pernah den_nai pelajari cara-cara memakai batik lepas ni. Tapi dek tiada siapa yang dipakaikan, kepandaian itu kini samar-samar dan di ambang kelenyapan. Yang penting sabar dan tekun. Memang merumitkan dan adakalanya tak berbaloi lansung. Tak hairanlah ramai yang lebih selesa dengan konsep pasang-siap.

Sebelum wujud alas meja, kain seperah hadir setia. Kalau kini seperah merupakan kain putih gulung dibentang berjela, asalnya kain batik lusuh seadanya. Kalau dahulu meja sebidangpun tak punya, orang makan duduk bersila; jambar ditengah, sekeluarga mengeliling juadah. Tikar selembar, batik sehelai, makanan sedulang. Sekali pagi, sekali malam, tengahari di bendang. Itulah dulu.

Pundut. Kosakata ini tidak den_nai ketemu dalam kamus. Kata Mak, dagang lalu selalunya membawa pundut dipikul dengan sebatang kayu, Dalam pundut itulah segala harta semasanya. Baik kain baju mahupun emas segenggam dua. Lazimnya pundut adalah kain batik sehelai yang dibentang, diisi barangan tertentu lalu diikat bersilang bucu, disimpul mati. Seterusnya dijinjit, dikandar, diusung, dijunjung ataupun dikelek. Pundut batik ini juga dibuat bantal pengalas tidur, penghapus lelah. Kenapa batik bukannya pelikat? Kerana batik adalah titipan mak atau isteri, pengubat rindu tatkala sepi. Alahai rang suri, buat-buat tanya pula.

Batik alaf baru lebih segar, jauh bermutu. Coraknya abstrak dan bebas, tidak lagi terbatas di takuk lama – pucuk rebung, tampuk manggis, segala kelarai, awan larat dan sebagainya. Warna pula juga tak terkira ronanya, seribu macam. Itu belum lagi bab padanan warna. Andai dahulu warna contrast dianggap pelik, kini menjadi daya penarik. Depa kain 4.00meter. Bidang 1.50meter atau 1.20meter.. Kalau bidangnya kurang daripada itu, siaplah kain bertokok di pangkal pinggang. Harga jangan ceritalah.

Bentuk baju bercorak batik tidak lagi terhad untuk kurung dan kebaya. Segala ilham setiap fashion designer mampu dipadan. Dipotong serong, dilipat tengah, dirobek sisi, cantik menawan. Zip di depan, butang di tepi, sembat di belakang, tak kurang meng“ancam”. Aksesori juga telah bernuansakan batik. Tas, tali pinggang, selendang, kasut, semuanya telah dihasilkan.

Suatu ketika dahulu, rang suri kalau melangkah keluar rumah pasti berkelubung kain batik. Bukan apa; melindung muka daripada panas cuaca, mengelap peluh sekali sekala. Andai di bendang atau di ladang, kelubung bertukar menjadi semutar. Bentuk lilitannya pula pelbagai ragam. Di ranah Minang, simpulannya menjadi bualan dan identiti kebanggaan.

Mak tak buang terus kain batiknya yang sedikit koyak mahupun lusuh. Masih boleh dikitar semula. Sebagai selimut dan alas tidur umpamanya. Kain mengelap pinggan, “tuala” mandi sebelum menjadi basahan mandi, alas kaki dan macam-macam lagilah. Pernah juga mak guna kain batik untuk tampung tudung saji yang sedikit lopong diunggis tikus. Ialah saji dahulu bahannya asli tidak plastik seperti sekarang.

Mak guna juga batik lusuh untuk sambung tikar mengkuang yang terungkai dan di kelimkan sekelilingnya sebagai hiasan dan pemberat. Jadi tikar tak mudah tergulung sendiri dan kami tak tersadung bila berjalan. Suatu ketika dahulu kata Mak ada juga dibuat lampin. Sekarang tidak begitu. Semua perkara ada bendanya. Kalau disilang-pakai si pengguna dianggap darat dan tak up-to-date. Walhal kalau disilang-pakai sekalipun bukannya luak, tak mati pun.

Dan mati di pengakhir bicara. Batik lepas juga yang dicari orang untuk menutup jenazah sebelum dikapankan. Kalau dapat biarlah dua helai; taklah orang mengata kain panjang sejengkal atau kain sehasta, ditutup atas bawah terjulur, ditutup bawah atas terjulur.

Rang suri, cuba tengok dalam almari tu; ada tersimpan batik barang sehelai?

Wednesday, February 4, 2009

Sesekali berkasih

.
Air jernih pantai bersih,
.....Bertiup angin nyaman terasa;
Orang berkasih awak berkasih,
.....Orang ke pelamin awak kemana?

Seorang teman menyebut; mencari dan memilih kekasih ni ibarat menunggu bas. Kalau di depot memang banyak pilihan tapi kalau di bus stop, apa yang lewat sahaja jadi taruhan. Nak yang manual, otomatik, berhawa dingin, yang au naturel dan sebagainya, pilih. Kadangkala bas berisi penuh, tak kurang juga kosong terus. Ini bahaya juga ni; sebelum naik jeling-jeling dulu air muka sang driver. Yang penting rang suri, tetapkan dahulu hala tuju sendiri. Jangan berlalu semua bas pula. Kalau nak ke Putrajaya naik bas pergi Rawang, apa ke hal?

Itu memilih bas. Kalau dapat sang adam yang sentiasa naik bas, mesti tak berapa berkenan di hati. Jangan begitu rang suri. Selidik dulu. Jangan-jangan sang adam ni eco-friendly punya insan. Iyalah nak reduce CFC emission, nak kurangkan penipisan lapisan ozon. Silap-silap kat rumah ada Ferrari dan Lamboghini, baik punya parking. Hah! Melepas.

Selalunya orang mula berkasih di bangku sekolah. Cinta berok. Syok, asyik maksyuk tapi yang ada cuma habuk. Yang mula menapak di hati ialah di zaman kolej dan universiti, IPTA dan IPTS, pusat pengajian tinggi. Yang ini sah-sah menapak berjalan kaki. Paling-paling pun berkapchai. Yang ini betul-betul kasih. Tiada apa yang dipertaruhkan melainkan diri dan cinta sejati. Rela tak makan berhari-hari, asalkan kekasih ada di sisi. Biar mati beribu kali, sidia kan tetap kekal abadi. Rang suri kalau di persimpangan ini, cuba fast forward 20 tahun dan lihat diri sendiri. Tak ke tolol? Terasa naïf kan?

Nikmat diusung ni. Konon-kononnya oleh calon suami. Apa lagi kalau sang adam pria tampan jadi rebutan, hensem bukan kepalang. Pasti banyak mata yang memandang. Tapi selalunya rang suri, yang dipandang orang tu sang adam, bukannya kamu. Andainya sepadan, ada juga suara memuji. Buatnya rang suri yang lesser half, sepastinya mengundang keji. Silap haribulan kena cantas. Jangan cepat perasan yang diri tu best! Tak de maknanya.

Itu bentuk usungan pertama, berpimpin-pimpin, ramai. Yang kedua, sedikit-sedikit. Sang adam bermotor hebat, berkuasa tinggi, melilau segenap negeri, pagi bertemu dini. Rempit tunjang diri. Seronok membonceng rang suri? Berseluar ketat, berbaju sendat nampak pusat. Lekat tertenggek, punggung tonggek. Apa, ingat cantik? Apa dah tak pandai beringat?

Kalau berjalan tu sekadar berpimpin tangan; membonceng ni dapat bergeselan. Mulalah fikiran menerewang. Sang adam tak lepas peluang, dok tekan brek semedang; pandai-pandailah cari tempat nak memegang. Kalau dapat biarlah di pinggang. Usap-usaplah sedikit kalau tak keberatan. Dua kali tolol! Usahlah rang suri mencari beban.

Ketiga; kadang-kadang yang semakin menjadi kebiasaan. Usungan berkereta menjadi pilihan. Panas hari taklah cair make-up. Hujan hari taklah kuyup baju berdakap. Kereta zaman ni dah menjadi keperluan dan bukan lagi status peradaban. Ketempat kerja dihantar, pulang pula berjemput. Alahai, bagai menatang minyak yang penuh. Kembang hati rang suri. Sebelum naik turun kereta siap salam cium tangan. Oi! Bukan muhrim awak, beringat sikit!

Usungan keempat. Jarang-jarang. Jerung besar mencari habuan. Berani rang suri pertaruhkan diri? Yang ini teramat hebat. Ada supir saban hari, kondo mewah melangit tinggi. Tak perlu kerja, goyang kaki; kad kredit supplementary, shopping sakan tanpa henti. Apa yang perlu rawatlah diri, jaga penampilan sentiasa rapi, dari hujung rambut ke hujung kaki. Hasrat dan niat menjadi trophy wife sebab calon husband pun old and wise. Rang suri, mimpi dan angan belum tentu jadi kenyataan. Silap haribulan kekal jadi perempuan simpanan.

Pandangan den_nai biarlah diri tu dipikat dan bukannya sibuk nak memikat. Kalau dah kerapkali berdating, rang suri yang keluar belanja, itu petanda ada yang tidak kena. Sesekali tidak mengapa, itu tanda berbudi bahasa. Congaklah dengan akal yang sedikit cerdik. Bukan apa den_nai perhatikan rang suri ni bila dah berkasih sebegini rela menurunkan martabat diri setaraf baghal. Kalau rang suri seorangpun sang adam kedekut berbelanja, bayangkan apabila sudah beranak pinak. Alamat mendukung biawak hiduplah. Memang tolol!

Sang adam kalau dimanjakan dia naik mua. Diberi betis dia nak peha. Dapat peha, hendaknya yang putih gebu, apa lagi, dirabanya le. Rang suri lupa ungkapan termakan budi tergadai body? Tapi sekarang den_nai tengok ramai yang gadai body, untung-untung dapat laki.(suami.) Sang adam ni sifat dia suka mencuba dulu; tak dapat banyak, sedikit; tak dapat penuh, separuh. Janji merasa. Tapi bila nak beristeri, dia nak cari yang pristine, yang tulen, yang alim. Agaknya masa masuk meminang tu sang adam lupa nak tengok cermin. Hampeh!

Apa tujuan berkasih? Bagi rang suri lazimnya untuk berumahtangga tapi bagi sang adam kerapkali untuk mencuba nasib; nasib baik dapat cuba-cuba. Rang suri kalau rela diri diperlaku sebegitu memanglah sah-sah tolol! mencari masalah. Carilah pasangan menurut lunas yang digariskan agama. Tak berkerenah, mudah. Lima perkara andai diturutkan insya’ALlah, aman. Countdown; kecantikkan, sekufu, harta, keturunan dan agama. Apa nak susah-susah mengikut rentak semasa. Old fashion? Old is gold lah rang suri.

Tik, tok, tik, tok, bunyi jam di dinding; (di tepi katil;) sebegitu jugalah tempoh hayat untuk bunting.(hamil.) Ouch! Tu bas dah datang tu. Tahan aja, naik dulu. Senget pun sengetlah. Kalau hinggut sangat, tekan loceng, turun.

Friday, January 9, 2009

Sesekali merias

.
Orang berkolek awak berkolek,
......Orang mudik awak hanyut;
Orang bersolek awak bersolek,
......Orang cantik awak (ngapa) serabut?

Dari hujung rambut sampai ke hujung kaki. Lazimnya ayat sebegini digunakan untuk orang yang memohon ampun sebenar ampun; namun bagi rang suri den_nai lihat lebih terkhusus bagi merias diri. Apa yang tidak dibelek dan apa yang tidak diusik kerana inginkan “...cantik, menarik dan tertarik”.

Nak dikatakan berpunca dari sang Adam, mungkin itu permulaannya; akan tetapi akhir-akhir ini ia lebih menjurus kepada persaingan antara rang suri sendiri. Peliknya yang mempromosikan perapian diri ini rang suri juga. Dijajanya ke sana ke mari, dicanangkan tanpa henti, bawa ke malam dari pagi hingga berlangsung ke dini hari. Sang Adam yang diharapkan memuji ketahuan menjeruk hati. Apa nak jadi, apa dah jadi?

Paling ketara ialah muka. Dek kerana muka adalah ‘pintu’ kepada setiap individu, keutamaan diberikan kepada rupa-wajah. Yang murung diserikan, yang kusam dicerahkan, yang kasar dimuluskan dan segala macam lagi penjagaan diusulkan. Dan den_nai tengok proses untuk ini semua bukan nya seminit dua, sepantas menyebut a, b, c; tetapi berjam-jam, berjela-jela, malah berterusan. Tak boleh berselang dan tertunggak.

Benarlah manusia lahir dengan pelbagai bentuk dan ragam kulit muka. Kering, berminyak, tidak sekata terutamanya pada zon-T, dan kombinasi yang berkerenah. Yang kering beruntung sebab muka tak ‘bersilau’ tetapi kulit sebegini cepat nampak berusia, tualah tu. Yang berminyak pula kulit kelihatan anjal serta segar tetapi dibawah panas terik, minyak muka menjejeh sampai kata orang boleh buat menggoreng ikan, berkilat semedang.

Di sinilah bermula rawatan kulit muka. Cleanser, toner dan moisturizer. Logiknya kulit tu kalau sedikit berdebu, memadailah basuh dengan air, mengapa perlu dikikis semua minyak di muka tadi dengan cleanser? Lepas tu dibubuh toner, biar kulit tu anjal dan gebu kononnya. Seterusnya di‘moisturise’kan yakni dilembabkan. Tak cukup dengan regimen yang ini ada pula yang ditepekkan lagi – day cream dan night cream pada ketika tidak memakai alat solek.

Jangan berpuas hati! Seminggu sekali disarankan pula face mask dan exfoliating gel. Bukan apa, sel-sel kulit yang mati tu perlu dinyahkan serata mungkin. Kalau ini tidak dilakukan kulit tidak sekata dan memberi ruang untuk jerawat dan jeragat membentuk. Kalau nak buat skin peeling pun boleh tapi risikonya untuk seminggu selepas rawatan, kulit akan menggelupas. Nak kompelin buat apa, namanya pun “mengupas kulit”.

Itulah, orang tua-tua dulu dah berpesan, rawatan kulit muka paling mujarab ialah wudhu’. Logik pun logik. Kalau dah lima kali sehari muka dibasuh dan dibasahkan, bersihlah ia, lembablah ia. Tambahan pula kalau anak-anak gadis tak rajin berjemur tengah panas, tak tercangak-cangak tanpa haluan. Lupa pula, orang sekarang dah pakai sun block SPF-30 minimun for effective result.

Satu lagi yang den_nai tak faham ni, kulit dah cukup cun putih-kuning, sawo-matang, hendak juga diaplikasikan krim pencerah kulit agar berubah menjadi putih-melepak. Yang orang putih di negara jauh tu pulak sibuk nak meng‘tan’kan kulit mereka, sawo matang macam kebanyakkan kulit orang kita. Kategori apa ini – kufur nikmat atau tak bersyukur? Jangan nanti sampai pakai body-spray macam celebrities di Hollywood tu sudahlah.

Terlanjur menyebut, ramai yang tidak sedar bahawa sawo tu adalah nama lain bagi buah ciku dan matang tu pula antara maksudnya ialah dah tua. Erti kata lain bagi warna kelaziman kulit orang kita adalah warna (buah) ciku-masak! Itulah sawo-matang kalau nak tahu. Satu lagi warna kulit yang dikaitkan dengan buah ialah kuning-langsat.

Berbalik kepada muka tadi. Bila dah bersih, barulah disolek agar tambah cantik dan seri. Tak sedar sebenarnya apa yang dilakukan ialah menepek benda-benda asing ke kulit muka! Lepas tu sibuk kulit gatallah, tak serasilah, tak selesalah. Memanglah. Awalnya dah dicucikan liang-liang roma dengan segala macam kaedah. Apabila dah bersih, disumbat kembali dan dicemar semula. Kompelin lagi.

Tapi jangan tak tahu, foundation, compact atau liquid dah ada yang allow the skin to breathe. Warna tak payah cakaplah; dari seterang siang hingga segelap malam mesti ada colour to match the skin tone. Nak yang matte finish atau yang extra glow mesti ada punya. Yang biasa-biasa tu berlambak. Kalau noda dan parut dimuka agak ketara, concealer sedia berkhidmat. Tenyeh secalit dua dan smudge. Pasti kulit muka kelihatan flawless.

Aiseymen! Terlupa pula akan line contour gel. Kalau botox tu dah difatwakan haram. Lebih-lebih lagi kalau memakainya ia merelakskan urat-urat saraf dan seolah-olah kita tak boleh control facial expression sendiri. Naya tu! Kalau rajin mengamalkan line contour gel ini, kerut dahi, alur senyum, crow feet dan saggy eye bags akan berkurangan. Taklah macam orang gaek.

Den_nai dah agak dah, ni baru cerita pasal muka, belum disentuh tentang yang lain dah berjela tak habis-habis. Banyak lagi bahan untuk diceritakan, kan tadi den_nai dah cakap – dari hujung rambut sampai ke hujung kaki. Jadi rang suri, buat masa ni, belek jangan tak belek. Tu jerawat tu jangan picit pakai jari…