Wednesday, July 8, 2009

Sesekali terlerai

.
Buah sentul pisang kaki,
...Hulurkan salak makan sedulang;
Usah dipukul terajang dan maki,
...Gugurkan talak hantarkan pulang.

Perkara halal yang dibenci agama. Keruntuhan sebuah masjid. Terlerainya sebuah ikatan hati yang pernah berjanji sehidup semati. Di mana silapnya, ke mana tersasarnya? Apakah petanda awal sudah terlihat dibuat-buat tak nampak? Atau tibanya gelora badai yang menerjah di tengah lautan tenang? Itulah rang suri, dah terhantuk baru nak terngadah; dahipun dah berlumuran darah.

Berpisah seperti yang digambarkan oleh pantun di atas? Lambatlah! Jangan bermimpilah rang suri! Beruntung kalau dapat satu calit talak; dibuatnya tergantung tak bertali, nak mengadu ke mana? Rang suri ni mudah alpa; andai segalanya baik-baik belaka dalam rumah tangga, tak pernah terfikir yang bala mungkin menimpa. Tak pernahlah nak bersiap sedia. Den_nai tak salahkan rang suri. Iyalah, dah semuanya berjalan lancar, buat apa nak difikirkan yang negatif, iya tak? Itulah puncanya. Hujan ke, panas ke, payung tu nak sentiasa disedia!

Sang adam ni, sekali diberi izin, empat kali mesti dikatakan tidak. Usahlah pula rang suri terang-terangan mengatakan tidak. Beralaslah sedikit. Umpamanya; “…betul abang nak buat begitu, janganlah bang”, “…Yah rasa tak sesuai benarlah bang”, “…anak-anak setuju ke?”, “… lain kali ajalah” dan sebagainya. Pandai-pandailah susun ayat. Sang adam kalau dibawa berlembut, dia lagi lembut; dibawa berkasar, dia lagi tegar. Ibarat kail mengena, ditarik-tarik dilepas-lepas. Jangan terjerut terus diragut. Takut nanti tak joran patah tali yang putus; tangkapan pun hilang terus.

Rata-rata rang suri kalau diberi pilihan tak mahu bercerai. Pada hemat den_nai ada beberapa sebab rang suri mempertahankan instituisi kekeluargaan ini. Yang pertama tentulah sayangkan suami yang teramat sangat. Taat tu boleh rang suri; hormatpun elok juga namun taksub tu jangan! Tetapi sebab yang paling ketara ialah takut pada stigma berstatus janda. Tak gitu? Apa lagilah kalau janda yang dah beranak-pinak. Khuatir nanti orang dah tak hendak!

Apalah ada pada nama. Okaylah, mungkin banyak. Dewasa ini pun title janda dah diberi ungkapan baru – ibu tunggal. Kulit aja lain, isinya itu juga. Lambat laun dicemuh juga. Bagilah ungkapan apa sekalipun, kalau dah janda tu janda juga. Lagi satu sebab mengapa title ini digeruni ini adalah kerana seolah-olah pemegang title ini ‘jahat’ orangnya walau mithali mana sekalipun. Perit berstatus janda ni!

Tak seburuk mana gelaran janda ni sebenarnya. Yang memburukkannya rang suri juga. Den-nai contohkan. Kalau ada tugasan berat yang memerlu kudrat, sang adam perlu tampil. Kalau tiada muhrim, diupah ke orang lain, orang mengata. Kalau ada sang adam yang ikhlas menolong, suami orang mahupun yang bujang, memang sah-sah dikata – diumpat dijaja segala cerita. Oleh siapa? Rang suri juga. Dikatakan penggoda, gatal dan seumpamanya. Itu sehalus tohmah, yang maha hebat lagi den_nai tak berani tulis. Rang suri lebih arif kerana rang suri yang sebut semua itu. Den_nai sekadar mendengar sahaja.

Dikhuatir juga anak-anak tak berbapa. Rang suri, bercerai sekalipun anak-anak tu tetap berayah. Terpulanglah pada sang ayah tu untuk melunas dan melaksanakan tanggung jawabnya. Malah lebih baik cerai bernafkah daripada bersuami yang tak pernah kenal rumah, anak langsung tak endah. Sang adam ni pun satu, beranak pandai, menjaga tak suai. Apa sang adam ni ingat erti beranak tu hanya khusus bagi rang suri yang ‘keluar’kan anak ke? Apa sang adam ingat anak tu boleh terus ada di situ tanpa sang ayah datang singgah? Anak tu amanah bukannya nak dibuat punah-ranah!

Yang paling den_nai tak faham ialah dah patah riuk tulang temulang serta lebam-lebam seluruh badan masih betah bertahan. Adakala dah tinggal nyawa-nyawa ikan masih beralasan bukan sang suami yang menyebabkan. Sudah-sudahlah tu rang suri. Beransur dan beredarlah. Tiada suami tak bermaksud hilang tempat bergantung. Rezeki datangnya dari ALlah bukan dari suami. Kalau adapun sekadar medium penghantar. Yakin dan percayalah pada yang satu.

Seperkara lagi, kalau dah jodoh setakat itu, usahlah disekat-sekat. Yang ini lebih menjurus kepada sang suami. Andai dahulu ambilnya dijemput; kini pulangnya silalah dihantar. Kalau nikahnya dulu diajak lari, rang suri menurut; dipinggir dicampak janganlah merungut. Sopan diambil, beradap dipulangkan; rampas dicuri, dicicir-cicirkan. Salah siapa? Berpisahlah secara baik dan terhormat.

Beringatlah. Anak-anak melihat dan akan bertindak-balas seadanya.