Friday, March 6, 2009

Sesekali berbatik

Berbaju kurung berkain batik,
....Warna sedondon rancak sepadan;
Ilmu diusung semakin cantik,
....Mulia dituntun anak watan.

Sepanjang hampir sedekad bergelar suami, tak pula terlihat akan Ayu membeli kain batik barang sehelai. Jangankan batik lepas, batik basahan pun tak pernah. Kalau sutera batik dan batik sepasang dibuat kurung, kebaya mahupun kebarung tu adalah. Bukan tak punya, ada. Itupun pemberian sanak saudara semasa kami mula-mula diijab-kabulkan dahulu. Kalau tak begitu mungkin saja tak bersarong batik sehingga sudah.

Barulah den_nai tahu yang orang Kelantan akan menghadiahkan sepasang kain (batik dan pelikat) bagi setiap pasangan pengantin baharu seandainya mereka datang berziarah atau bertemu mengenal saudara. Dapatlah kami hampir dua dozen seorang. Tak pula kami ganti-pakai selama tiga minggu berturut-turut. Sempat kering yang dipakai malam sebelumnya untuk dipakai berselang hari.

Den_nai pesan pada Ayu supaya berkain batik tatkala pulang ke Seremban. Dalam lingkungan keluarga terutamanya Mak tentulah lebih manis berbatik basahan, terserlah keayuannya nanti; langkah tersukat, simpuh beradat. Bertahan jugalah dalam 6 – 7 bulan. Lepas tu tiada lagi den_nai terlihat Ayu berbatik lenggang melenggok kecuali ketika hampir bersalin dan dalam pantang. Rupa-rupanya ipar-ipar di kampung yang sedikit mempengaruh; “…tak rimas ke?”. Alahai, ketimuran yang mula terungkai.

Berapa ramaikah agaknya anak gadis sekarang yang pandai mengikat kain batik, berselip ataupun bersimpul? Sedangkan yang di kampung dan pendalaman pun susah nak jumpa inikan pula di kota-kota metropolitan. Jangan haraplah! Andai ada yang berkain batik pun pasti yang disuai-padankan dengan baju polos dan kain kipas di sisi bersemat rapi dijahit seorang ahli. Nak harapkan diri sendiri pasti tak menjadi. Entah mana sisip entah mana kipas; silap haribulan kain lucut terlepas.

Lepas? Bagaimana pula dengan kain batik lepas? Tak tahu batik lepas? Batik lepas ialah kain selembar yang tak bertemu hujung, tak berjahit seperti batik sarong. Den_nai ingat anak-anak gadis sekarang dan juga kaum hawa pertengahan umur lebih senang memindah tugas pada tukang jahit, lebih praktikal katanya. Iyalah, buat apa bersusah payah; jimat masa, tiada curiga, anggun bergaya. Sarong dan kancing, siap. Tak perlu melipat-lipat, terlilit-lilit, mengikat-ikat.

Kalau diikut kaedah lama, ada kemungkinan naya. Melangkah dua tiga, terburai sudahnya. Pernah den_nai pelajari cara-cara memakai batik lepas ni. Tapi dek tiada siapa yang dipakaikan, kepandaian itu kini samar-samar dan di ambang kelenyapan. Yang penting sabar dan tekun. Memang merumitkan dan adakalanya tak berbaloi lansung. Tak hairanlah ramai yang lebih selesa dengan konsep pasang-siap.

Sebelum wujud alas meja, kain seperah hadir setia. Kalau kini seperah merupakan kain putih gulung dibentang berjela, asalnya kain batik lusuh seadanya. Kalau dahulu meja sebidangpun tak punya, orang makan duduk bersila; jambar ditengah, sekeluarga mengeliling juadah. Tikar selembar, batik sehelai, makanan sedulang. Sekali pagi, sekali malam, tengahari di bendang. Itulah dulu.

Pundut. Kosakata ini tidak den_nai ketemu dalam kamus. Kata Mak, dagang lalu selalunya membawa pundut dipikul dengan sebatang kayu, Dalam pundut itulah segala harta semasanya. Baik kain baju mahupun emas segenggam dua. Lazimnya pundut adalah kain batik sehelai yang dibentang, diisi barangan tertentu lalu diikat bersilang bucu, disimpul mati. Seterusnya dijinjit, dikandar, diusung, dijunjung ataupun dikelek. Pundut batik ini juga dibuat bantal pengalas tidur, penghapus lelah. Kenapa batik bukannya pelikat? Kerana batik adalah titipan mak atau isteri, pengubat rindu tatkala sepi. Alahai rang suri, buat-buat tanya pula.

Batik alaf baru lebih segar, jauh bermutu. Coraknya abstrak dan bebas, tidak lagi terbatas di takuk lama – pucuk rebung, tampuk manggis, segala kelarai, awan larat dan sebagainya. Warna pula juga tak terkira ronanya, seribu macam. Itu belum lagi bab padanan warna. Andai dahulu warna contrast dianggap pelik, kini menjadi daya penarik. Depa kain 4.00meter. Bidang 1.50meter atau 1.20meter.. Kalau bidangnya kurang daripada itu, siaplah kain bertokok di pangkal pinggang. Harga jangan ceritalah.

Bentuk baju bercorak batik tidak lagi terhad untuk kurung dan kebaya. Segala ilham setiap fashion designer mampu dipadan. Dipotong serong, dilipat tengah, dirobek sisi, cantik menawan. Zip di depan, butang di tepi, sembat di belakang, tak kurang meng“ancam”. Aksesori juga telah bernuansakan batik. Tas, tali pinggang, selendang, kasut, semuanya telah dihasilkan.

Suatu ketika dahulu, rang suri kalau melangkah keluar rumah pasti berkelubung kain batik. Bukan apa; melindung muka daripada panas cuaca, mengelap peluh sekali sekala. Andai di bendang atau di ladang, kelubung bertukar menjadi semutar. Bentuk lilitannya pula pelbagai ragam. Di ranah Minang, simpulannya menjadi bualan dan identiti kebanggaan.

Mak tak buang terus kain batiknya yang sedikit koyak mahupun lusuh. Masih boleh dikitar semula. Sebagai selimut dan alas tidur umpamanya. Kain mengelap pinggan, “tuala” mandi sebelum menjadi basahan mandi, alas kaki dan macam-macam lagilah. Pernah juga mak guna kain batik untuk tampung tudung saji yang sedikit lopong diunggis tikus. Ialah saji dahulu bahannya asli tidak plastik seperti sekarang.

Mak guna juga batik lusuh untuk sambung tikar mengkuang yang terungkai dan di kelimkan sekelilingnya sebagai hiasan dan pemberat. Jadi tikar tak mudah tergulung sendiri dan kami tak tersadung bila berjalan. Suatu ketika dahulu kata Mak ada juga dibuat lampin. Sekarang tidak begitu. Semua perkara ada bendanya. Kalau disilang-pakai si pengguna dianggap darat dan tak up-to-date. Walhal kalau disilang-pakai sekalipun bukannya luak, tak mati pun.

Dan mati di pengakhir bicara. Batik lepas juga yang dicari orang untuk menutup jenazah sebelum dikapankan. Kalau dapat biarlah dua helai; taklah orang mengata kain panjang sejengkal atau kain sehasta, ditutup atas bawah terjulur, ditutup bawah atas terjulur.

Rang suri, cuba tengok dalam almari tu; ada tersimpan batik barang sehelai?