Friday, September 24, 2010
Antara cara dan gaya raya
....Alunan suara merdu sekali;
Berlalu sudah Ramadhan Al-mubarak,
....Entahkan merasa bertemu kembali.
Qamat bilal berbaris jemaah,
....Jeda keheningan damai terasa;
Semangat Syawal manis dijamah,
....Tanda kemenangan usai puasa.
Teratur tari kerlipan pelita,
....Di bawah tabuh menerang sepi;
Dihulur jemari kemaafan dipinta,
....Ukhwah dikukuh jalinan terpatri.
Berkunjungnya Syawal, berlalu setahun lagi Ramadhan. Begitulah putaran masa. Rang suri tak terasa ke? Janganlah begitu rang suri; usia dan masa tak menunggu kita. Nak dikejar memang tak terkejar, Cuma yang mampu, kita gunakan masa yang dianugerahkan sebaik mungkin.
Beraya di mana? Di kampung sendiri atau di kampung suami? Seronok? Tentulah senyum meleret tak sudah kalau beraidilfitri bersama keluarga sendiri namun usah pula gundah seandainya berlebaran di tempat “orang”. Alahai rang suri, bukan orang lain sangat pun, keluarga mentua tu, kan ke keluarga rang suri juga!
Den_nai adakalanya kurang mengerti, apa sangatlah yang hendak digaduhkah perihal balik kampung ni. Belum tentu damai dan tenteram. Kadangkala anticipation nya yang lebih megujakan walhal kenyataannya berpaling 1800, a total disappointment! Lain hasrat yang dirancang, lain pula yang jadi!
Paling ketara – pat, pat siku lipat; siapa cepat dia dapat! Maka bergegaslah pulang ke kampung merebut bilik tidur. Naknya rumah yang ada 2 - 3 bilik cuma, lagilah haru! Selalunya “tuan rumah” akan beri laluan kepada “tetamu”. Maka bagi keluarga besar, besar pula masalah jadinya. Lazimnya rang suri utama telah menyediakan room assignments. Bagi memerlihara keharmonian terutamanya di aidilfitri, turut ajalah – be civil for a few days.
Apabila dah reramai berkumpul, serba-serbi mesti dikongsi. Dari sesempit ruang tamu hinggalah sekelumit makanan. Itu belum lagi tugasan menyediakan apatah pula mengemas. Nak menyediakan segala macam benda – makanan pagi petang siang malam, tempat tidur, ruang tamu, pelita laman dsb. Begitu juga dengan mengemas – sepahan dan remah, pinggan-mangkuk, ceruk dapur, anjung kereta dsb. Itu belum lagi nak cuci kain-baju berebut mesin basuh, mencari ruang hendak mengampai, mengangkat dan seterusnya melipat. Tak kena cara, tiada muafakat, boleh tarik muka musibat! Sabar…
Kena pula ada suku-sakat yang rasa dirinya lebih hebat, mulalah perangai lord over others nampak dilihat. Maklumlah dan terbiasa berorang gaji. Serba-serbi dikerah. Pula tu si pembantu turut ambil time off. Apa lagi, menggagaulah jadinya. Eh, eh! Jangan-jangan itu rang suri tak? Ada class dan serasa pasti diri lebih baik dan sempurna dari yang lain. Lupa bawa cermin ke rang suri oi!!! Nak bergaya pun tengoklah ketika, masa dan suasana. Tak sesuai langsung!
Berbalik pada berkongsi tadi, bab berebut bilik air yang cuma dua buah, jangan ceritalah. Menunggu gilir ibarat menungggu bulan jatuh ke riba. Macam kisah P. Ramlee dalam kisah si Bujang Lapuk. Kena pula yang buat bilik air tu umpama milik peribadi; sekali masuk habis segala susuk tubuh hendak dibelek! Jenuh! Mulalah kata-kata yang kurang enak kedengaran, sok-sek sok-sek, omel-omelan dan sungut-sungutan tak berkesudahan. Sabar lagi…
Kalau balik kampung tapi duduk di hotel, tak kena juga. Berkata ipar-duai; “…kalau setakat duduk hotel baik tak payah balik…” Pulak! Semuanya tak kena. Alahai! Tapi ini trend dan gaya orang berada. Alasannya, tak mahu menyusahkan orang, walhal bukan den_nai tak tahu, malas nak menyumbang tenaga dan to some extend, belanja. Faham ajalah; besar periuk, besar keraknya.
Bab membanding baju raya dan aksesori perhiasannya satu isu juga. Berkatalah rang suri, “…I tak sempat nak tempah, nak beli kat kedai biasa nanti sama pulak dengan orang, malu. Jadi I belilah kat boutique…” Iyalah tu rang suri oi!
Pemberian duit raya untuk anak-anak saudara, anak tetemu yang berkunjung pun dijeling-jeling juga. Dalam pada tu menceceh lagi, “..kata manager, dua ringgit aja…” Ukurlah baju di badan sendiri. Kalau diberi seratus ringgit sekalipun, andai diiringi sumpah-seranah dan dengan niat nak lebih dari orang lain, tak ikhlas, lebih baik tak usah. Sabar ajalah…
Kalau dulu den_nai pernah juga merasa balik kampung sehari dua lebih awal sebab nak buat kuih tradisi; kacau dodol, bakar lemang, rebus ketupat dan pelbagai lagilah. Sekarang semua ni boleh ditukar dengan ringgit. Tak perlu lagi mencari buluh di hutan, memanjat pokok kelapa mengambil buah dan dedaun muda, menganyam segala bentuk kelongsong, bersangai di api makan asap, memedih mata dan bermacam-macam perkara kerjalah. Everything nowadays is ready made. Money talks.
Hari mantai atau berbantai. Den-nai yakin dan teramat pasti ramai yang tak pernah dengar istilah ni. Mana tidaknya, semua benda dah boleh didapati dan dibeli di pasar. Nak kerbau, lembu, kambing waima unta dan kijangpun dah ada. Yang penting good connection dan tempah awal. Jika lambat tiba dek terlepas subuh dan liat nak bangun, jangan orang lain dipersalahkan. Mula tak sabar ni…
Silap haribulan, sampai kampung pun tidak! Jujutan kenderaan di setiap selekoh, simpang dan jalan sememangnya menguji kesabaran. Kalau tak kena cara dan gaya, berhari-rayalah di lebuhraya!!!
Memang dah hilang sabar…
Friday, May 14, 2010
Antara biadap, celupar dan kurang ajar
...Rimbun dedalu lingkar penuh;
Secantik budi seindah bahasa,
...Tak lagi perlu dek sukar sungguh!
Suka hati akulah! Whatever... Kau apahal! Talk to my hand...
Bukan sekali den_nai mendengar ungkap sebegini. Dah naik jenuh hingga ke tahap mual. Tidak terhenti di sini, malah pelbagai versi yang lebih tidak enak pernah menyentuh gegendang telinga ini. Itu yang didengar, belum lagi yang ‘ter’dengar, dipandang ‘ter’pandang ataupun dibaca ‘ter’baca.
Anak-anak sekarang berbicara sesedap mulut, berperangai sesuka hati, berkelakuan seenak diri. Apakah mereka ini tiada ibubapa, saudara, handai, taulan atau perasaan yang perlu dijaga?
Ke mana perginya rang suri yang membentuk peribadi anak-anak suatu ketika dahulu? Ke mana hilangnya tangan-tangan yang menghayun buaian, mendodoi serta mengulit mimpi sikecil? Sibuk menggoncang dunia atau sibuk menyebuk? Atau sibuk ber‘facebook’?
Telah semakin terungkai tata-susila diperadaban milinium ini. Rasa hormat dan segan semakin menipis, setipis lapisan ozon. Agaknya terik mentari telah menggelegak dan meruap sel-sel santun dan sopan pada setiap insan di muka bumi ini. Mengapa den_nai berkata begitu? Mana tidaknya; celupar, angkuh serta biadap menjadi santapan harian anak-anak sekarang!
Di manakah silapnya? Adakah mereka ini kurang diajar mama-papa mereka? Atau mak-ayah lebih senang memindah tugas ini pada pembantu di rumah serta guru-guru di sekolah? Keterlaluan mengejar duniawikah sehingga ukhrawi corot tertinggal? Siang malam bekerja hingga masa tersisa hanya khas untuk memanja-manja? Segala dibuat tidak ditegah; semakin tinggilah kaduk menggalah.
Dahulu, menegur penuh berhemah, cakap belapik segala alas. Rambut ditarik perlahan agar tidak putus dan tepung tidak berselerak. La ni, “…lantak pi la hang, aku pedulik apa!!!” Hamburlah nista segala perkataan yang didengar-faham-hafal. Orang terasa, nak ambil hati, tersinggung, terluka, biaq pi! Janji hati puas!
Ditambah pula kini dengan teknologi internet yang tersangat perkasa dan infiniti kuasanya; mampu guna hampir percuma oleh sesiapa juga. Tulislah - upload dan download sesuka hati; adakala terteralah segala dusta dek busuk pekerti, ter‘tak sengaja’, atau kebebalan diri. Dibukalah pekung sepenuh dada, kurap selilit pinggang jeragat seraut wajah! Cantik ke, aib yang dipamerkan?
Andai den_nai menulis: This is my column and I’ll say as I please! Betul ke pemikiran begini? Tentu sekali tidak. Menulis kerana merasa diri sendiri betul dan hebat berbanding menulis kerana mengetahui sesuatu itu betul dan tepat tentulah berbeza. Cakap sesedap mulut memang sedap. The repercussion can be enormous, let alone the backlash!
Mummy-daddy mungkin tak tahu semua ini! Ini buruk laku yang intangible. Kalau perbuatan berpeleseran, bergaduh, bermasam muka, mengharik menempelak dah terlalu lumrah hingga menjadi perkara biasa. Yang berbudi-bahasa serta bersusila tinggi pula dianggap pelik dan out-of-date! Dan rang suripun menarilah mengikut rentak terkini yang digubah dan didendang anak sendiri.
Apa seronok rang suri melenggok menurut alunan irama tu? Yalah alunan anak rang suri semuanya elok-elok, biarpun suaranya sumbang-mambang. Berseri molek dipandangan mata, menjadi halwa telinga. Yalah depan rang suri eloklah tingkahnya; dalam rang suri merenong termenung, jangan tak tahu, muka rang suri habis dicontengnya. Katanya nak bubuh mascara agar lebih anggun tapi…
Yang lebih hebat ialah apabila anak sendiri tak boleh disinggung! Ditegur salah, tak ditegur lebih masalah! Betullah kata Rasulullah; di akhir zaman, ibu-bapa akan melahirkan tuan-tuan mereka sendiri. Maka patuhlah semua umi-walik terangguk-angguk mengia dan memenangkan setiap-genap perbuatan zuriat masing-masing.
Segenerasi lampau sebelum mengorak langkah, bertanya sang anak, “…kalau dibuat ini, apa kata mak agaknya - diberi izin atau malu mak nanti?” Kalaupun tak meletakkan syariat agama terlebih dahulu, setidak-tidaknya perasaan orang yang melahirkannya di junjung terlebih dahulu! Murnikan pengertian sebegini? Sekarang jangan haraplah, yang ditanyakan, “…what’s in for me?” Keakuan yang terlampau!
Orang tetua dahulu telah berpesan, cakap siang, pandang-pandang; cakap malam, dengar-dengar. Jadi, kalau Allah menganugerahkan pancaindera yang sihat, usahlah dibutakan mata ataupun dipekak kan telinga. Adakala yang silapnya rang suri juga; dah acuannya senget, bengetlah kuihnya. Kalau diri sendiri tidak mahu berubah, sifat itu jugalah akan tercurah kepada anak-anak rang suri!
Zaman sekarang, untuk melakukan kesilapan lebih mudah dari membuat yang betul. Apatah lagi memperbetul yang telah silap. Meludah kelangit, menepuk air di dulang; yang lecun basah terlepek kahak, muka sendiri juga!
Yang cantik tetap budi, yang indah masih bahasa; yang wajib kekal tentulah iman!
Friday, March 19, 2010
Sesekali memandu
...Tawa bertingkah berdekah-dekah;
Kami wanita tak mahu kalah,
...Berkereta mewah tambah serlah.
Kereta. Ken‘dera’an atau peragaan? Kalau ada tiga-empat buah terparkir di perkarangan rumah serta tersedia wakaf khas, sahlah kereta tersebut untuk peragaan. Seandainya hanya sebuah beat-up almost a lemon, installment pun tertangguh berbulan-bulan, ken‘dera’an lah tu!
Rang suri yang berkereta dah ramai jumlahnya. Den_nai tengok yang memilih option berkereta ni, antara sebabnya dek tak suka disenggol dalam pengangkutan awam. Baguslah tu. Kalau setakat disenggol masih boleh diampun, kalau dah mula tercuit dan dicubit, den_nai pun rasa nak hadiahkan penyepak. Rang suri tentu tak begitukan? Kenalah jaga kesopan-an sungguhpun hati penuh derita. Tapi den_nai tahu ada yang gemarkan diri dikuis-kuis sekali sekala.
Selain menghindar si hidung belang, ada yang beralasan tak tahan menanti bas yang asyik tak kunjung jelang; train yang penuh penumpang ataupun teksi yang tak ambil penumpang di kala hujan. Apapun terpulanglah pada rang suri tapi yang menariknya berkereta kerana nak melawa dan melaram. Tak betul?
Pertama, kereta itu sendiri. Hantar ke spa seminggu sekali, tak pernah dicuci sendiri; tak glamor katanya, walhal memang tak reti. Enjin terkemudian yang penting aksesories. Bukannya spoiler atau mud guard tetapi langsir dan patung-patung kecil penuh sarat. Belum masuk alas kerusi dan alas kaki, siap chair back bagai! Mak ai!
Skrin depan ditepek segala sticker keahlian dan kediaman. Maklumlah ada class, mesti ada sticker sepenuh ruang sampaikan road tax hilang tenggelam. Cermin belakang pula dilindung kusyen empuk setebal tilam. Bahaya rang suri oi! Pandangan terhalang, kurang tumpuan.
Ingatlah rang suri, kereta tu bergerak bukan dek kerana minyak Ron‘95 atau Ron’97 sahaja. Minyak lain nak ditengokkan juga – engine oil, brake oil, clutch and gear lubricant. Power stearing oil usah lupa, kalau yang memandu otomatik nak diperhatikan sentiasa. Angin, air tak sebut lagi. Bukan main redah aja.
Kedua, penampilan diri. Make-up tebal seinci. Langkah masuk kereta, tengok rear view mirror, cermin diri. Stilletto sejengkal tinggi, tekan clutch pun sipi-sipi. Baju dipakai sleeveless, kemudian selimut sampai hujung jari. Katanya sejuk air-cond dan terik sinar mentari. Alahai…
Itu bolehlah tahan juga. Ramai juga rang suri yang sempat bersolek di setiap hentian lampu merah. Yang ada curlers belum dilepaskan pun pernah den_nai bertembung. Terbelek-belek, terjenjang-jenjang tengok rear view mirror. Yang terus pulas cermin tu pun ada! Kan ke cari nahas tu! Apabila kena hon buat selamba. Hish! Geram!
Yang bersun-glasses selebar muka pula lain ceritanya. Rang suri seharus nya mampu melihat dengan terang dan jelas bukannya menggelap dan menyuramkan alam. Apa ingat ni nak pergi masquerade party ke? Yang bercontact lenses pula satu lagi hal. Apabila tak bersih, mulalah terkebil-kebil. Nanti bila dah tabrakkan, amacam? Kalau susah sendiri tak apa juga, ini melibatkan segala umat.
Ketiga, keutamaan ketika memandu bukan pada keadaan lalu-lintas dan persekitaran, sebaliknya apa yang berlaku didalam kereta. Duduk mesti comfy, seat di dorong ke depan sampai santak dada menyentuh stearing wheel. Ada juga yang drive 4WD tapi tinggi rang suri tak sampai pun 5 kaki! Kesudahannya umpama misteri, kereta bergerak sendiri.
Air freshener mesti floral scent full blast sampai sesak nafas. Irama cintan-cintun mendayu-dayu agar dapat enjoy miming sambil memandu.
Tapi pujian patut diberi pada rang suri. Memandu berhemah penuh bistari. Hukum lalu lintas, tak dapat tidak mesti dipatuhi. Had kelajuan tak boleh dilangkaui biarpun ramai berderet di highway mengharap melintasi. “Oi! Tolonglah ke tepi!!!” Jalan tu bukan milik sendiri. Orang lain pun bayar road tax juga, ngerti!
Kalau nak melencong kanan atau kiri jangan lupa indicator tu, signal lah biar orang tahu. Ini tak, main redah aja! Dihidupkan indicator masa hujan lebat, kedua-duanya pula! Silap besar rang suri oi! Hazard lights hanya untuk kecemasan bukan untuk hujan. Dan headlights pula seelok-eloknya dinyalakan semasa hujan dan waktu senjakala. Katanya, masih nampak. Yalah! Memanglah rang suri nampak tapi orang tak nampak rang suri! Tapi bila-difikir-fikirkan bab yang ini, sang adam pun dua kali lima juga.
Parking kereta satu hal. Naik jenuh menunggu, tak selesai-selesai. Entah nak perfect macam mana ntah! Ke depan ke belakang, terhenjut-henjut, hinggakan dua tiga kali enjin mati. Kalau parallel parking tu adalah ampunnya sikit, ini parkir biasa aja, perpendicular parking. Macammana boleh dapat lessen dulu ya?
Terlanjur menegur, den_nai nak nasihat sikit. Masuk kereta tu, teruslah kunci. Beg Versace tu janganlah letak di atas kerusi, di depan apatah lagi di belakang. Den_nai pernah diperkhabarkan ada rang suri yang dirompak semasa berhenti di lampu merah. Cermin sisi dipecahkan dan tasnya dilarikan pemuda bermotor-sikal. In a broad day light lagi! Berhati-hatilah.
Di manakah priority rang suri apabila dibentangkan isu ini? Diri sendiri, hartabenda atau orang ramai? Pada hemat den_nai deralah kenderaan rang suri tu, jangan didewakan; kerana yang menjadi mangsa bukan sahaja rang suri tetapi yang disekeliling dan yang memerhati.
Ingat! Kereta boleh memecut dari 0 hingga 100 km dalam masa 10 saat; tapi tembok akan memberhentikan kereta dari 100 ke 0 km dalam 0 saat!
Friday, February 12, 2010
Sesekali berpucuk muda
.... Biduk ke muara tibanya senja;
Andai jodoh telah merencana,
.... Pucuk nan muda tiada salahnya.
Sesekali merasa pucuk muda seronok juga! Macamlah selalu merasa pucuk yang pelbagai. Lazimnya dapat yang satu tu , satu tulah sampai akhir hayat. Kalau dapat yang sebaya muda semasa kahwin dahulu, pucuk yang itulah sampai layu, kering menguning lantas gemersik. Di-buatnya kahwin dengan orang separuh umur, rang surilah pucuk mudanya!
Ragam orang kita ni adakalanya tak masuk akal, dan tak mahu terima sudut pandangan yang berbeza; seolah-olah apa kata hati mereka sahaja yang betul. Nak disalahkan mereka tak adil juga kerana tidak semua kelompok mampu keluar dari kepompong sedia-lahir. Maksud den_nai ada orang sedari lahir, membesar, beranak pinak dan seterusnya meninggal, tak pernah berhijrah mukim, jauh sekali berhijrah minda. Secara tak langsung paradigmanya tetap tak beralih.
Hal yang satu ni rang suri gagal melihat dari sudut pandang positif. Bahkan bukan rang suri aja, sang adam pun sama kolot. Walhal agama Islam tidak melarang dan dipraktikkan sendiri oleh Rasulullah kita. Suami muda, isteri jauh lebih tua. Tingkah usia Nabi Muhammad s.a.w. dan Khadijah r.a. 15 tahun. Bukan sedikit! Yang ini sang adam tak nampak!
Yang dinampak, beristeri ramai, satu lepas satu. Dan mereka juga lupa bahawa Rasulullah bekahwin ramai setelah isteri pertamanya wafat. Dan juga gagal dilihat bahawa Khadijah adalah ibu tunggal.
Memanglah janggal di mata kita dek kerana tidak terbiasa dan telah menjadi pegangan budaya turun temurun bahawa isteri sebaiknya lebih muda dari suami. Kekok memanggil suami ‘abang’ andai dia lebih muda. Benar begitu? Tidak juga. Cuba lihat pada senario hubungan perkahwinan. Abang kepada rang suri lebih muda dari usia suami namun suami masih memanggil abang rang suri dengan panggilan ‘abang’. Tapi itu dululah , sekarang masyarakat lebih senang dengan panggilan nama. Itulah gunanya nama, iya tak?
Zaman sekarang rang suri mempunyai lebih pilihan, ndak-ndaknya bila dah berkarier dan semakin bijak mencatur hala tuju hidup sendiri. Kalau suatu ketika dahulu memanglah rang suri bermatlamat agar apabila sudah besar, berkahwin, beranak dan mengurus rumah-tangga. Kini tidak lagi.
Perubahan memandiri ini juga semakin mendorong ramai rang suri untuk melewatkan usia perkahwinan. Bila dan selesai mengejar dunia dan sedikit sebanyak berkemampuan lagi berharta, tersedar diri tidak ber‘punya’. Pada den_nai ini tak salah tapi memang lebih manis ber‘punya’ kerana dalam Islam, berwali dan bermahram itu amat penting. Dan ingat, Khadijah r.a. berkerjaya dan berharta juga.
Bila dah tersasar usia, memang tak berpeluang untuk berpatah balik. Menangis airmata darah sekalipun, masa akan terus berlalu. Nak dicari yang baya-setanding, ramai dah berkahwin. Nak berkongsi kasih, ramai yang risi. Yang ini satu lagi kes pelik rang suri – yang difikirkan bila raya nak balik rumah mana; sedangkan sekelamin payah nak atur gilir, inikan pula bermadu empat – bukannya hendak mencari rahmat ataupun keberkatan berkongsi hidup!
Jadi apabila pilihan tiada, dicarilah yang sedikit muda. Mula-mula kenen yang muda berselang setahun-dua, tak ketemu juga. Berkesot pula lima-enam tahun. Bila dah jenuh, payah-payah sponsor anak bujang yang sedang berganjak usia. Sebaiknya yang di menara gading. Laburlah laptop – mudah kekasih buat assignment; lepas tu motorsikal – senang buah hati nak pergi kuliah. Beri duit belanja – agar boyfriend tak lapar semasa mentelaah. Sang adam bukan tak tahu, tak diambil orang dah memberi; nak ditolak dikata tak sudi. Terima ajalah, bukannya ada ikat janji pun.
Dan bagi sang adam pula berlaku adillah kepada rang suri yang menabur budi sedemikian rupa. Janganlah menangguk di air keruh. Rang suri ni kalau dah sayang mampu memberikan segala-galanya. Namun sekali ia terluka berwaspadalah. Rang suri ni bi-polar sedikit bab-bab karenah ni; mereka juga mampu berdendam kesumat sepanjang hayat. Usah dicuba, dan gatal-gatal nak menduga kerana yang rugi nanti sang adam juga.
Den_nai dengar dan lihat sang adam yang berkahwin ibu tunggal dan jauh lebih berusia ni teramat beruntung. Pertamanya sifat keibuan itu sendiri. Kedua, pandai melayan suami – pastinya dari pengalaman terdahulu, ketiga, sayangnya yang terlampau - al-maklumlah suami baru, muda pula tu. Keempat, sabar akan karenah ragam orang muda. Dan pelbagai lagilah yang den_nai dengar. Mungkin itu sebabnya Allah mengurniakan sebegitu kepada nabi Muhammad s.a.w.
Sekali lagi den_nai ingatkan rang suri supaya berpada-pada mencurah kasih. Paling pasti, mesti beringat kalau belum ada ikatan perkahwinan yang sah. Andai dah berkahwin pun begitu. Berpada-pada. Sikap mandiri itu sangat perlu di peradaban sekarang. Sesuatu budaya serta sikap hanya terbentuk setelah melintasi dan mengharungi masa. Ia tidak terjadi dengan sebegitu sahaja. Percayalah.
Kecil jangan disangka anak, manalah tahu kalau-kalau itu suami!
Monday, December 28, 2009
sesekali bercermin
....Air di tebat riak berbayang;
Sehari suntuk mengadap cermin,
....Diri dilihat tak nampak yang kurang.
Andai satu survey dibuat, den_nai yakin teman paling akrab rang suri adalah cermin. Tapi bukan sekeping yang diusung selalu, malah beribu biar di manpun bertemu; pandang pertama mesti berkenan punya. Lipstik jatuh nombor dua – ini topik mandiri, lain kali den_nai sentuh.
Bangun pagi, cerminlah yang dicari, ditatap dahulu. Molek jugalah sebab tak ramai yang dianugerah Allah wajah berseri di awal pagi. Paling tidakpun di subuh-subuh sepei begini disisir sedikit rambut tu; kalau kembang mengerbang, sang suami pun tak sudi memandang; inikan pula lain orang.
Masuk ke kamar mandi, bercermin. Regimen scrubbing, exfoliating, memberus gigi, kekumur dan sebagainya mesti ditunaikan. Kalau ada jerawat mesti dirawat atau dilecet dahulu. Selesai bersiram, melangkah keluar, dijeling cermin tu. Silap-silap sambil mandi menatap cermin. Patutlah cermin di kamar mandi bergelar vanity mirror. Sesuai benarlah!
Kembali ke bilik tidur. Selesai sembahyang dan berpakaian, terus terjelopok depan dressing table. Apa lagi mengadap cerminlah! Kalau bertuah dressing table ini ada cermin berkembar tiga, mampu disetarakan untuk melihat pandangan 270o. Paling koman bertapa di sini 20 minit. The basic routine, 3’s in 4 steps – cleanser-toner-moisturizer; concealer-foundation-blusher; eye shadow-eye liner-mascara; lip liner-lipstick-lip gloss.
Oops, rambut dan tudung! Andai rambut fiilnya bermacam; kalau tudung anekanya beragam. Another 15 minutes please. Ini juga topik mandiri. Nanti, belum selesai! Putar, ngendeng, lenggok, lentuk, bercekak dan segala posing; manalah tahu kalau-kalau ada benda yang out of place - terjuntai rambut di luar tudung, terkelepet baju di bahagian punggung, kain berlipat tersingsing tergantung. Tambah 5 minit lagi. Jika cermin tu boleh berkata-kata, mesti ia dah menyindir, “..pada-padalah tu…”
Den_nai yakin mesti ramai yang tak berdoa semasa bercermin. Bukan susahpun; tak perlu berbahasa asing. Cukup sekadar rang suri faham apa yang rang suri harapkan. Apa guna berbahasa asing andai sebutannya kabur dan maksudnya hancur? Mudah, “Ya Allah kau elokkanlah pekertiku sebagaimana kau mengelokkan rupa parasku” Beauty should not be skin deep. Usahlah kerana terlampau nak cantik, hingga hilang peribadi ketimuran rang suri. Alangkah ruginya…
Turun tangga. Berhenti sekejap di pelantar, landing kata orang putih. Di sini strategik untuk becermin. Bukan apa, better to be save than sorry. Membelek lagi. Bersarapan pun begitu (Sarapan dah tersedia, ada pembantu – juga topik mandiri) Sambil menyuap, kerling juga refleksi diri di kaca almari.
Sebelum keluar rumah ada cermin. Tatap lagi. Masuk kereta; andai penumpang turunkan visor mirror, kalau rang suri memandu pulas rear view mirror, takpun dijenjang leher sedikit. Tengok cermin wajib. Dipintu tadi tengok pakaian, dalam kereta checking lipstik dan facial make-up. Al-maklumlah, kan baru sarpan tadi. Kenalah touch-up, masakan dibiarkan diri sememeh selekeh.
Cukup dahulu bicara setakat masuk ke dalam kereta . Itu baru dalam persekitaran rumah. Di luar tu, mak oi! jangan ceritalah. N’dak n’daknya di shopping complexes; sepastinya rang suri terasa di syurga dunia – melihat diri dilihat sendiri. Narcissism yang amat terlampau!
Awas! Jangan tak tahu, rang suri sekarang dah ada persaingan hebat! Tetapi usahlah rang suri rasa rendah diri ataupun rasa tercabar. Wujud kini sang adam bergelar metroseksual memberi tamparan. Segala aneka bahan tatarias yang rang suri miliki, yang compatible turut dipunyai oleh kelompok ini. Alasannya rapi meng-compliment maskuliniti. Dan sang adam inipun tanpa segan silu mendampingi cermin sebagai teman sejati. Sungguh!
Dan cermin pendamping yang paling setia antara yang setia ialah compact mirror. Sentiasa mene-mani sepanjang masa di mana jua. Ini baru betul never leave home without it! Bukanlah rang suri namanya andai tiada berkepunyaan barang sebuah. Biarpun compact powdernya dan kehabisan; selagi tak diganti, digendong juga cermin tersebut. Janganlah rang suri nak berbohong. Rang suri junior belum bertadika pun dah pandai membimbitnya ke hulu ke hilir; inikan pula yang dah berkarier sendiri.
Namun bak kat ustaz, sebaik cermin adalah cermin diri. Bukan nya pembalikkan bayang dari kaca-kaca di sekeliling tetapi melihat jauh ke lubuk hati dan sanubari. Kira muhasabah dirilah. Perelok dan perbetul mana-mana yang patut. Biar cantik rang suri bukan sekadar luaran malah sebati dan terpatri dikalbu.
“Ayu; pandanglah abang ni kejap. Ini asyik tengok cermin aje!”
“Samalah kita bang. Abang tu pun ngadap cermin jugak 24 jam; cuma namanya aja lain - skrin; kalau tak t.v., komputer!”
Wednesday, November 25, 2009
sesekali bermentua
....Menginding tempua di tubir tingkap;
Hati berbunga mendapat suami,
....Diiring mentua hadir melengkap.
Mentua atau mertua, apa bezanya? Yang berbeza cuma ejaan dan sebutannya sahaja, maknanya tetap sama; ibu atau bapa kepada pasangan yang dinikahi. Sebaik sahaja selesai ijab-kabul, bermentualah rang suri. Apa jelling-jeling dan senyum sumbing? Den_nai belumpun meleret tulis lagi…
Usikkan den_nai kali ini tentulah mengenai jalinan hubungan antara rang suri dan rang suri juga. Mentua dan menantu perempuan. Andai damai dan tenteram, sebulu dan sefaham, bahagialah sang adam – si anak merangkap sang suami. Dibuatnya hodoh perangai dan suka berdendam, “…langkah mayat aku dulu, pergi jahanam!”, alamat meranalah badan.
Dalam masyarakat Melayu, lazimnya sang adam akan melangkah masuk ke dalam keluarga rang suri; kalau orang Noghori, apatah lagi kalau rang suri yang bongsu sekali, situasi ini hampir pasti. Di sini den_nai tak nampak sebarang masalah. Sang adam yang bersemenda sebegini biasanya cool sahaja.
Seperti lancang, mana mungkin ia diterajui dua nakhoda; begitu jugalah sesebuah rumah tangga, mesti ada surinya. Persoalannya, siapa yang harus beralah? Bagi den_nai, rasionalnya mudah. Sekirannya sang suami membawa isteri masuk ke rumah ibunya, mentualah surinya. Begitu pula sebaliknya. Kalau ibu dibawa masuk ke istana sepencarian, menantulah surinya. Namanya pun rasional; bila diadukkan emosional, kalau tak kena gaya, sehari-harian seisi keluarga meniti bara api.
Dek kerana itulah orang tetua dahulu berpesan supaya carilah rumah yang berasingan dapurnya. Lagipun bila sering berjauhan, sesekali bertemu wangi baunya. Tapi ada juga ibubapa yang mengusulkan dan memahukan anak-menantu tinggal bersama sementara belum berjumpa rumah yang sesuai dan selesa. Pokok pangkalnya tanyalah diri sendiri yang mana padan; berkenan di hati dan ngam di poket sendiri.
Yang paling den_nai meluat mendengar apabila rang suri berseloroh (kononnya), “…my MIL is coming over…”, sambil mata membelalak menjuling ke atas, sinis, mengeluh dan sedikit tidak acuh. Ini sikap orang barat yang wajar disisih. Ini bukan budaya kita. Mentua itu ibarat ibu sendiri yang wajib dirai. Memanglah tak serupa tapi tanpa mereka dari mana terbitnya suami-suami rang suri?
Dan rang suri yang berstatus mentua pula, usahlah direbut anak lelaki tu, biarpun seorang itu sahaja yang ada. Andai telah terdidik benar agamanya, 3 kali kasih ibu dicampur sekali sayang pada ayahnya, barulah tiba giliran sang isteri (menantu). Tangga kelima tu! Ini sunnah Rasullulah. Takkan rang suri tak pernah dengar? Biar betul!
Bagi rang suri yang bergelar isteri, tak perlu rasa kecewa kerana memahukan perhatian setelah puas rang suri berkiblatkan sang suami; sang adam masih bekalih pada ibu sendiri. Kalau diikutkan hati memang tak adil. Sekali lagi den_nai ingatkan – rasional dan bukan emosional. Akan tiba giliran rang suri bertukar status daripada menantu kepada mentua. Sabar.
Jadi, janganlah diempunyakan sang suami dari ibunya. Dijamin tak selamat. Tak percaya, cuba tengok Kassim Selamat. Tapi itu cerita lain dan gendernya juga turut berbeza. Namun rang suri tentu tak mahu menjadi Nyonya Mansoor kan?
Semolek-moleknya mentua itu dibuat teman sejati. Mereka lebih mengenali hati budi suami rang suri. Masakan tidak, rang suri cuma ‘take over the premises’ selepas sang suami siap dibentuk dan ditempa menurut acuan mentua sehingga rang suri berkenan. Untuk mengetahui selok-belok dan kesinambungan peribadi sang suami, ke mana lagi hendak dirujuk kalau bukan pada mentua?
Di sisi agama, letak duduk mentua teramat tinggi sehingga menjadi mahram, berstatus ajnabi – tidak boleh dinikahi. Bersentuhan dengan mentua tidak membatalkan wudhu’ tetapi dengan pasangan tidak begitu. Andai agama menyanjungi taraf mentua, mengapa rang suri memandai-mandai mencela dan mencalarnya pula? Sahlah tohor pembelajaran, dangkal pemikiran dan cetek pemahaman. Sering-seringlah mendengar ceramah agama di televisyen mahupun di radio; kalau dah malas sangat membaca. Ini tidak, habis drama, sinetron; habis sinetron, drama! Bilalah otak tu nak mewah ilmu?
Jodoh pertemuan manusia di tangan Allah. Benci atau menyampah macamanapun itu tetap mentua atau menantu rang suri. Hidup inipun sekadar yang terizin, bukan selama-lamanya nak menongkat langit.
Ingatlah, suatu hari nanti rang suri akan bergelar mentua juga, mudah-mudahan. Kata orang, naik pangkat. Tuhan sekarang bayar tunai atas segala perbuatan kita; segalanya terbalas di dunia dan tak perlu tunggu di akhirat. Jika senget-benget rang suri melayan mentua sekarang, 20 atau 30 tahun akan datang dapat pula layanan condong dan hampir rebah dari menantu, jangan pula terlolong-lolong marah menyumpah. Kira hutang beres, sudahlah! Adil kan?
Usah jadi menantu hantu dan berubah menjadi mentua gila mengada-ada di hari tua.
Tuesday, October 20, 2009
sesekali berhutang
....Dagang senteri tiada kembali;
Hutang piutang tak mahu dibayar,
....Hutang budi tak siapa peduli.
Ungkapan mahupun soalan “…siapa hidup tak berhutang…?” memang biasa didengar. Jika adapun jawapan tidak, bilangannya sedikit dan amat payah ditemui; setidak-tidaknya dalam lingkungan pergaulan den_nai. Yang den_nai maksudkan tentulah orang dewasa dan bukannya anak-anak kecil.
Hah! Rang suri, janganlah nak berselindung pula, mengaku sajalah. Dari sekecil-kecil anting-anting hinggalah segadang-gadang rumah yang kita lindung-berteduh, banyak yang terhutang. Berilah apa jua nama sekalipun – kredit, pinjaman, ansuran, jual-beli, pajak-gadai, hatta kutu-kutu sekalipun ia tetap hutang! Tak usahlah nak berdolak-dalik. Tapi janganlah rasa rendah diri, sang adam pun dua kali lima serupa; kalau tak seinci, sekeliling pinggang.
Sewaktu kecil dahulu, den_nai tak pernah nampak sang adam berhutang dan yakin sang adam tak berhutang. Yang den_nai nampak rang suri sahaja yang sentiasa berbahasa, “…hujung bulan ya Apek”, “…kira dulu ya Bai”, “…masuk buku ya Kak Aji” dan sebagainya kepada cina sayur, bhai roti atau mak cik diwarung tepi jalan.
Sekali sekala bertandang tamu yang mulanya asing, langsung akrab dek datang setiap bulan, menagih ansuran. Mana tidaknya, kalau nak dibayar selepuk-selepap tak berduit; tak diambil tak merasa, dibiar berlalu takut kempunan dikhuatiri pula mati beragan. Mati beragan ni bagi yang tak tahu ialah beragai suri. Pun tak pernah dengar? Maknanya seakan-akan mati tetapi sebenarnya tidak. Suai benarlah tu rang suri - beragai suri, siang sasar terlopong, malam mengigau mengidam.
Den_nai tak salahkan rang suri. Namanya pun suri, penyeri rumahtangga, di rumahlah bertakhtanya. Tidaklah rang suri keluar mencari melainkan orang datang mempamer dan mempromosi dari rumah ke rumah. Akan tetapi itu rang suri generasi terdahulu. Rang suri alaf baru telah bertukar rupa berubah wajah. Isinya, rang suri juga; jangan tertipu. Sekarang tak perlu menanti hutang datang singgah, sebaliknya rang suri akan keluar memburu mencatur hutang.
Buku 555 dah lapuk ketinggalan tetapi konsepnya dikemaskini sesuai dengan teknologi; apa lagi kalau bukan kad kredit. Cuma rang suri aja yang keliru akan faedahnya yang betul-betul tak ada faedah; bunga yang bukan sahaja tak cantik malah harum beracun. Seperti yang tadi, sebutanyang ini juga lain, bendanya itu juga malahan lebih teruk lagi. Terminologinya berganti, bunyinya sedap didengar supaya rang suri menipu diri yang diri tidak tertipu…
Bila difikirkan elok lagilah buku 555 dahulu. Yang ada hutang pokok saja, bunganya tak berputik langsung. Tambahan pula tak perlu dilunaskan terus pada penghujung bulan atau dikenakan bayaran minimum. Denda lewat bayar jauh sekali. Andai tersisa tidak pula terbeban dengan faedah ke atas faedah. Namun pasal nak jaga prestige, leret jangan tak leret. Kalau dapat biar yang gold atau platinum card dan pastikan lagi ramai kelibat yang melihat lagi bagus; 18% per anum tolak tepi.
Sang adam tak main hutang kecil-kecil ni. Apalah sangat setakat pinggan mangkuk, Tupperware, atau alat solek - gincu selohong dua tu apa kelas. Terus ke bank, isi borang - credit finance, loan financing, credit facilities, hire purchase dan segala macam jargon lagilah menjanjikan hutang seumur hidup; kalau mati sebelum hutang langsai, hutang hingga ke anak cucu.
Walau apa sekalipun rang suri, ukurlah baju di badan sendiri. Janganlah berserebeh labuhnya atau sendat singkatnya. Berbelanja semampu ada. Berhutang untuk menuntut ilmu kalau dapat dielakkan. Ini bukan setakat PTPTN, nak bertunang berhutang, nak nikah, meminjam; arakian nak beranakpun masih nak berhutang! Tak perlulah nak keep up with the Joneses, kata orang putih. Orang berada, kita apa ada! Jangan sampai chetti datang mencari, rang suri sembunyi; ah long memanggil mencaci, rang suri cabut lari. Itulah bila meminjam, buat-buat lupa. Sekarang peminjam bukan macam dulu - malu nak minta, lagi dibambunya ada! Payah dan parah hidup.
Itu semua baru hutang materi dah lintang-pukang, belum lagi hutang-piutang yang intangible, yang sukar nampak dan tidak nyata. Hutang pada diri sendiri, pada sesama insan dan pada tuhan. Dah terbayar ke, dah dilunas ke, atau masih tertangguh, teragak-agak dan terhegeh-hegeh melangsaikan hutang-piutang tersebut? Yang den_nai maksudkan adalah hutang janji, budi, bakti, jasa, tenaga, wasiat dan seumpamanya.
Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa. Itu dulu, sekarang; orang memberi, kita pangkah aja. Ada beberapa maksud disitu. Tapi yang jelas, rang suri kena peka dengan persekitaran. Jagan buat ‘derk’ aja. Berbaik sangka, taburkan bakti dan budi merata-rata. Bukan rugi pun. Wang memang tidak semua yang ada namun kuderat, di usia muda semua orang ada. Laburkanlah, agih-agihkanlah. Contoh paling sesuai semasa kenduri-kendara. Datang rewang, bawalah pisau menghiris lada dan bukannya sekadar bawa mulut menambah dosa.
Menyentuh sedikit perihal berkenduri ini, orang dahulu mengamalkan sistem ‘tanam dan bayar’. Adakan rang suri sekarang mengamalkan budaya ini? Amaal! Dengarpun tak pernah. Halusnya orang dahulu memberi pendahuluan tanpa dipinta dan 100% tidak menagih pemulangannya (mungkin sedikit mengharap). Yang menyimpan buku kira-kira itu adalah tuan rumah, tiada juru audit. Jarang sekali ada yang menuntut ‘tanam’nya – beras, minyak, telur, tepung dsb. dibayar Di sinilah budi orang dahulu yang tidak tertanding sekarang.
Bagaimana pula berhutang dengan tuhan. ALlah itu maha kaya. Pintalah apa juga, insys”ALlah diberinya. Rang suri aja yang buat-buat lupa atau sememangnya ada penyakit amnesia yang tiada surutnya. Tak lama lagi nak raya, berhutang juga. Buka sekolah nanti, berhutang lagi. Hah! Hutang puas dah qada? Dah kena fidyah tu! Subuh pagi tadi tersasar; dah lunas? Bentang sejadah tu cepat.
Silap-silap sejadah parsi tu pun belum habis bayar…
Tuesday, August 4, 2009
Sesekali bertudung
......Jalan bertiga berbisik kata;
Segak manis bertudung litup,
......Sopan bergaya cantik jelita.
60-an dan sebelumnya.
Menjadi kemestian bagi anak gadis yang telah akhil baligh tatkala berjalan keluar rumah mengenakan kain selendang. Itu kalau ada keramaian. Pada hari-hari biasa sehelai batik sarung basahan dikalungkan ke leher lalu dikembangkan menutupi kepala. Anak rambut berjuntai di dahi sementelahan tocang yang tejalin panjang terjulur terjuntai ke aras pinggang.
Selain dari kesantunan gaya semasa, sarung batik ini turut memainkan peranan sebagai payung pelindung terik cahaya matahari. Andai di kedinginan pagi, sarung batik akan beralih tugas menyelimuti tubuh meng-hangat badan. Turut diperlaku, tudung sebagai tabir menepis raut dari pandangan tajam sang adam. Akan terperlihara dan bertambah serilah rang suri.
Bertudungkah ini? Den_nai rasa tidak.
70-an.
Skarf mula menampakkan diri di dekad ini. Yang terlilit di leher atau sebagai cekak mahupun reben pengikat rambut adalah kebiasaan . Menjadi eksesori pada busana. Menarik apabila sering dilihat sebagai tudung segitiga yang lazim dipakai oleh rang suri berusia 35 tahun ke atas.
Skarf tadi dilipat dua bersilang bucu lalu diserkupkan di kepala, diikat pula pada tengkuk dua bucu lagi yang bertentangan. Namanya pun scarf; kain panjang sejengkal – yang tertudung hanyalah bahagian tengah kepala. Rambut di dahi dan ubun-ubun masih nampak sebegitu jugalah rambut bahagian belakang terjurai lepas.
Bertudungkah ini? Belum lagi.
80-an.
Tudung dakwah! Masih ingat? Penggunaan perkataan dakwah yang disempitkan. Seolah-olah dakwah itu cuma pada tudung dan tudung sahaja yang berdakwah. Alahai! Tapi tak mengapa. Den_nai rasa pada dekad inilah arus bertudung mula bangkit. Yang jelas tudung kali ini agak litup pemakaiannya. Segala rambut dan anak-anak rambut kemas tersimpul di dalam tudung. Ini turut terbawa kepada baju dan kain yang dikenakan. Yang kelihatan cuma raut wajah dan dua telapak tangan.
Sungguhpun begitu pada kelompok masyarakat tertentu mereka masih boleh dibilang dengan jari. Andai rang suri di Universiti, Kolej mahupun sekolah asrama penuh, sudah pasti 100% terpilih sebagai ketua Hal Ehwal rang suri berpotfolio keagamaan. Tak boleh tidak jawatan ini terpaksa disandang. Pendek kata, rang suri yang bertudung ini pasti banyak ilmu agamanya.
Dipertengahan dan penghujung dekad ini ternampak aliran menyongsang arus. Ramai rang suri kembali ke tanah air dari negera-negara barat pulang berlitup. Maka tersohor pulalah istilah-istilah jilbab, hijab, purdah, chador dan seumpamanaya. Bilangan yang digelar “ninja” juga terus meningkat. Tak kurang juga anak-anak yang takut pada “hantu kum-kum”.
Bertudung atau kesedaran? Entahlah.
90-an.
Sekolah agama rakyat semakin bercambah di seluruh negeri di Malaysia. Jika dulu pada tahun-tahun 70-an hanya popular di beberapa negari sahaja terapi kini perkembangannya semakin menyeluruh di serata Semenanjung. Di Sekolah Kebangsaan Rendah dan Menengah anak-anak gadis tidak diwajibkan namun digalakkkan bertudung. Maka bertudunglah anak-anak disekolah. Yang tak moleknya, selesai aja sekolah, tudung lucut entah kemana!
Kesedaran atau berfesyen? Serasa terpaksa dan dipaksa.
Alaf baru.
Wardina, Waheeda, Bienda, Siti dan terbaru Ekin disinonimkan dengan gaya tertentu bertudung. Itu belum lagi jenis kain yang dipakai; nipis, lembut, satin, kasar, jarang, sutera dan maha pelbagai. Bersaiz besar, memanjang, sarong-pakai, pasang-siap, selapis, dua lapis, hatta multi-layered and muilti-coloured pun ada! Itu belum sentuh bab jurai, lace, sulam, manik, labuci dan batu-batu kaca dan cermin yang bergemerlapan. Berkancing di dagu, berpeniti di pinggir dahi, berkeronsang di bahu, berkelip di pipi, bersemat di kepala, bersangkak di dada serta segala ilham pintalan yang tak ter- klasifikasikan. Oh! Leher dilihat jinjang, jambul sejambak, rantai memancar, subang kemilau. Pulak!
Yang menjelek pandangan, rambut tertutup tetapi busana mendakap kemas menzahir setiap inci alun kujur tubuh. Setahu den_nai selain rambut, aurat turut menuntut agar dilabuhkan tudung ke paras dada serta berpakaian tidak menyerlah susuk badan. Akan tetapi sekarang yang kelihatan semakin ramai juga rang suri yang berkemeja-T lengan pendek dan berstretchable jeans. Tudung tetap maintain! Itulah jadinya bila berfesyen mengikut orang dan bukannya menurut ilmu pengetahuan!
Kewajipan? Hmm. Pakai tudung saji ajalah…
Wednesday, July 8, 2009
Sesekali terlerai
Buah sentul pisang kaki,
...Hulurkan salak makan sedulang;
Usah dipukul terajang dan maki,
...Gugurkan talak hantarkan pulang.
Perkara halal yang dibenci agama. Keruntuhan sebuah masjid. Terlerainya sebuah ikatan hati yang pernah berjanji sehidup semati. Di mana silapnya, ke mana tersasarnya? Apakah petanda awal sudah terlihat dibuat-buat tak nampak? Atau tibanya gelora badai yang menerjah di tengah lautan tenang? Itulah rang suri, dah terhantuk baru nak terngadah; dahipun dah berlumuran darah.
Berpisah seperti yang digambarkan oleh pantun di atas? Lambatlah! Jangan bermimpilah rang suri! Beruntung kalau dapat satu calit talak; dibuatnya tergantung tak bertali, nak mengadu ke mana? Rang suri ni mudah alpa; andai segalanya baik-baik belaka dalam rumah tangga, tak pernah terfikir yang bala mungkin menimpa. Tak pernahlah nak bersiap sedia. Den_nai tak salahkan rang suri. Iyalah, dah semuanya berjalan lancar, buat apa nak difikirkan yang negatif, iya tak? Itulah puncanya. Hujan ke, panas ke, payung tu nak sentiasa disedia!
Sang adam ni, sekali diberi izin, empat kali mesti dikatakan tidak. Usahlah pula rang suri terang-terangan mengatakan tidak. Beralaslah sedikit. Umpamanya; “…betul abang nak buat begitu, janganlah bang”, “…Yah rasa tak sesuai benarlah bang”, “…anak-anak setuju ke?”, “… lain kali ajalah” dan sebagainya. Pandai-pandailah susun ayat. Sang adam kalau dibawa berlembut, dia lagi lembut; dibawa berkasar, dia lagi tegar. Ibarat kail mengena, ditarik-tarik dilepas-lepas. Jangan terjerut terus diragut. Takut nanti tak joran patah tali yang putus; tangkapan pun hilang terus.
Rata-rata rang suri kalau diberi pilihan tak mahu bercerai. Pada hemat den_nai ada beberapa sebab rang suri mempertahankan instituisi kekeluargaan ini. Yang pertama tentulah sayangkan suami yang teramat sangat. Taat tu boleh rang suri; hormatpun elok juga namun taksub tu jangan! Tetapi sebab yang paling ketara ialah takut pada stigma berstatus janda. Tak gitu? Apa lagilah kalau janda yang dah beranak-pinak. Khuatir nanti orang dah tak hendak!
Apalah ada pada nama. Okaylah, mungkin banyak. Dewasa ini pun title janda dah diberi ungkapan baru – ibu tunggal. Kulit aja lain, isinya itu juga. Lambat laun dicemuh juga. Bagilah ungkapan apa sekalipun, kalau dah janda tu janda juga. Lagi satu sebab mengapa title ini digeruni ini adalah kerana seolah-olah pemegang title ini ‘jahat’ orangnya walau mithali mana sekalipun. Perit berstatus janda ni!
Tak seburuk mana gelaran janda ni sebenarnya. Yang memburukkannya rang suri juga. Den-nai contohkan. Kalau ada tugasan berat yang memerlu kudrat, sang adam perlu tampil. Kalau tiada muhrim, diupah ke orang lain, orang mengata. Kalau ada sang adam yang ikhlas menolong, suami orang mahupun yang bujang, memang sah-sah dikata – diumpat dijaja segala cerita. Oleh siapa? Rang suri juga. Dikatakan penggoda, gatal dan seumpamanya. Itu sehalus tohmah, yang maha hebat lagi den_nai tak berani tulis. Rang suri lebih arif kerana rang suri yang sebut semua itu. Den_nai sekadar mendengar sahaja.
Dikhuatir juga anak-anak tak berbapa. Rang suri, bercerai sekalipun anak-anak tu tetap berayah. Terpulanglah pada sang ayah tu untuk melunas dan melaksanakan tanggung jawabnya. Malah lebih baik cerai bernafkah daripada bersuami yang tak pernah kenal rumah, anak langsung tak endah. Sang adam ni pun satu, beranak pandai, menjaga tak suai. Apa sang adam ni ingat erti beranak tu hanya khusus bagi rang suri yang ‘keluar’kan anak ke? Apa sang adam ingat anak tu boleh terus ada di situ tanpa sang ayah datang singgah? Anak tu amanah bukannya nak dibuat punah-ranah!
Yang paling den_nai tak faham ialah dah patah riuk tulang temulang serta lebam-lebam seluruh badan masih betah bertahan. Adakala dah tinggal nyawa-nyawa ikan masih beralasan bukan sang suami yang menyebabkan. Sudah-sudahlah tu rang suri. Beransur dan beredarlah. Tiada suami tak bermaksud hilang tempat bergantung. Rezeki datangnya dari ALlah bukan dari suami. Kalau adapun sekadar medium penghantar. Yakin dan percayalah pada yang satu.
Seperkara lagi, kalau dah jodoh setakat itu, usahlah disekat-sekat. Yang ini lebih menjurus kepada sang suami. Andai dahulu ambilnya dijemput; kini pulangnya silalah dihantar. Kalau nikahnya dulu diajak lari, rang suri menurut; dipinggir dicampak janganlah merungut. Sopan diambil, beradap dipulangkan; rampas dicuri, dicicir-cicirkan. Salah siapa? Berpisahlah secara baik dan terhormat.
Beringatlah. Anak-anak melihat dan akan bertindak-balas seadanya.
Wednesday, June 3, 2009
Sesekali memikat
Urat-urat sutera tenunan,
....Lekat selirat tali benang;
Ngorat-ngorat teruna pilihan,
....Dapat terpikat suami orang.
Disalahkan sang adam juga! Sang adam ni kalau tak disenggol, dia tak akan bergoyang. Pada hemat den_nai, memang rang surilah yang sering memulakan langkah pertama! Sang adam ni, ada mata dia tengok; ada mulut, sesekali dia becok. Dalam sepuluh yang betul-betul berani menegur menyapa si cantik manis anggun bergaya, cuma satu. Dua kalau dicabar. Selebihnya kalau segerombolan beranilah; kalau sendirian, mati hidup balik tak berani buka mulut. Penakut! Bukan takut apa, takut kena reject. Malu beb!
Kalau tak mahu sang adam terbelalak terbeliak, janganlah rang suri melampau berhias. Jalan melenggok, tumit tinggi berketuk. Surai mayang mengurai, haruman merapai. Itu belum masuk bab senyum meleret, mata melirik. Aduh! Bergoncang iman. Sang adam mana yang boleh tahan. Sepengecut manapun, boleh tertiup semangat bayu tujuh bukit. Apa lagi, mulalah dia meng’usha’, meng-ayat.
Klu bagi rang suri. Sang adam ni kalau confident aja dengan rang suri, ada beberapa kategori yang perlu diberi perhatian. Pertama, dia membesar dalam lingkungan orang perempuan – mak, nenek, adik, kakak, mak cik dan sebagainya. Dan terbiasa, dah tak kekok. Kedua, sang adam di dunia wanita. Choreographer, designer, coiffeur, jurusolek, pemilik butik dan seumpamanya. Sebab interaksi yang berterusan, dah suai benar dengan gelagat rang suri.
Ketiga, sang adam yang kecelaruan gender. Dek merasakan yang dirinya sebahagian dari rang suri, serasilah ia di alam sebegini. Siap bertepuk bertampar bagai. Memang ngam. Keempat, sang adam yang bergelar suami. Yang ini memang pakar dan arif amat perihal wanita, tambahan pula yang telah beranak sesusun jari. Memang dah hafal setiap skrip dan tindak tanduk rang suri. Sebaris debat rang suri, sepuluh silang jawab dan hala tuju perbincangan dia dah ada dalam genggaman.
Dari empat kategori ini den-nai rasa rang suri akan selesa dengan sang adam kategori ketiga. Malah mereka mampu menjadi rakan paling akrab dan pendengar paling setia akan setiap keluh kesah yang terbeban di hati. Akan tetapi yang kategori keempat lebih menawan dan mengasyikkan. Mampu melakukan seperti yang kategori ketiga, malah jauh lebih baik, siap dengan segala nasihat dan tunjuk ajar yang penuh meyakinkan. Di sini rang suri perlu berhati-hati kerana ditelunjuk yang lurus, tersongsong kelingking yang berkait. Awas!
Lidah tak bertulang. Bercakap memang senang. Namun malang bagi rang suri, sekali terjerat masuk perangkap memang sukar untuk lepas bebas. Yang mulanya tak suka boleh jadi angau seluruh badan. Yang asalnya dipandang hitam legam berubah hitam manis. Gigi rongak di gusi bawah kini seri pemanis wajah. Dulu sombong angkuh kini yakin tegas pendirian. Alahai! Telah kabur sungguh pertimbangan, hampir hilang kewarasan. Tak dapat dinasihat tak makan apa jua saman. Rang suri, apa dah jadi?
Berkawan biar seribu, berkasih biar satu. Itu perumpamaan orang dulu-dulu. Dah tak relevan. Berkawan tak kenal rupa, semua ditemu di alam siber. Kasih dikelek kehilir-hulu, kepit yang ini yang itu jangan tahu. Itu kononnya suai bagi sang adam. Rang suri tak mahu kalah. Kumbang bukan seekor katanya; nak dibelek segala bentuk yang ada – kumbang daun, kumbang gajah, kumbang kayu, kumbang kelapa, hatta kumbang bertanduk sekalipun ingin didekatinya. Itu belum bab warna dan dengungan bunyi sang kumbang. Tak ke gamat dibuatnya!
Dalam seribu takkan tak berkenan satu. Itu adatlah. Mujur satu, kalau dua tiga, bertambah haru. Yang menyebabkan rang suri gagal berpatah balik ialah bila hati dah sayang. Bab ini den_nai rasa rang suri memang bebal. Okaylah, bukan bebal tanpa pedoman tapi dah memang sejadinya begitu. Sifat penyayang yang keterlaluan, ala-ala sifat keibuan gitu; seolah-olah perbuatan sayang-menyayangi ini unstoppable. Berfikirlah dengan mata hati bukannya mati hati ditenggelami emosi.
Sang adam kalau dia rasa sahamnya melambung, dia tak khabar yang dirinya dah beristeri, pandai-pandailah rang suri bertanya kanan kiri. Kalau nanti bila dah terlalu intim dan menjadi, barulah tahu segala identiti. Bertanya rang suri, “…kenapa you tak bagi tahu I yang you dah kahwin?”. Dengan selamba terpacul jawapan, “…you tak tanya…”.
Dalam pada itu diteruskan juga melayan suami orang ni. Yalah, hati dah sayang…
Friday, May 8, 2009
Sesekali mengandung
....Lagu dendam menyentak perasaan;
Sembilan purnama bonda menanti,
....Rindu terpendam tidak tertahan.
.
Alahai! Seronoknya bila home pregnancy test kit menggariskan line biru. Positiflah tu. Apatah lagi ini untuk pertama kali. Lebih teruja kalau penantian selama 3, 5 mahupun 10 tahun berakhir. Ada juga yang berkerut dahi sambil mengetap-ngetap bibir; tak kurang juga yang merungut-rungut. Ini kes kandungan yang tidak dirancang atau sistem kawalan dan pencegahan gagal. Den_nai tak mahu menyelusuri cabangan ini. Mungkin di lain bicara.
Berkongsi berita tentulah dengan sang suami dahulu. Walaupun tidak diconfirmkankan oleh doktor bidan, seluruh Malaya dihebahkan juga. Mak, ayah, mentua, adik-beradik, ipar-duai, rakan baik, musuk ketat, collegue, acquaintance, associates dan sebagainya. Mana taknya, “…aku kini wanita sejati!” Tapi yang bunting pelamin tu malu juga nak beritahu orang, dibiarkan sahaja perut memboyot nanti yang mengkhabarkan. Hah! Itulah, gelojoh sangat. Tapi nak malu buat apa, perkara halal dan rezeki murah.
Nak bersalin di mana? Hospital berbayar atau hospital kerajaan? Kalau private tu classlah sikit tapi ada ke ongkosnya? Ada juga hospital persendiriantu kononnya top class tapi bila ada kes yang rumit sedikit disorongnya ke hospital awam juga sudahnya kerana kurang peralatan canggih. Hospital kerajaan sekarang tak kurang handal. Rang suri ajalah yang kena bersabar banyak. Apapun, tepuk dada, tanya selera.
Selera! Kini makan untuk dua orang, katanya. Alah! Rang suri, bukannya sang adam tak tahu. Itu sekadar alasan untuk melantak. Anything and everything goes. Blame it on the unborn child. Dan berniatlah di hati rang suri; “…esok dalam pantang kuruslah nanti” Berharap dan berangan tu berbeza rang suri. Berusaha pula belum tentu impian menjadi kenyataan. Berpada-padalah makan. Esok-esok anak dah dua tiga, badan semakin montel dikatakan; “…tengoklah pulak berapa ramai yang dah keluar…” Iyalah tu.
Yang pasti den_nai tengok rang suri ni bila mengandung, seri yang terpancar di wajah mereka bukan main lagi; tersangatlah menawan. Yang den_nai maksudkan seri yang asli dan bukannya yang ditepek tebal ½ inci tu. Hormone surgelah tu. Ditambah pula dengan keghairahan untuk menerima orang baru. Maka bertambah-tambahlah kemilau diri. Bukan setakat sang suami, suami orang pun mula puji memuji. Awas!
Dan dengan hormone surge itu jugalah mood swing rang suri ni melantun-lantun naik turun. Sekejap senyum, sekejap murung. Sesekali merajuk tak menang memujuk. Nak berguraupun kena tengok-tengok. Yang terkena tempiasnya tentulah sang suami. Kalau setakat marah-marah tu bolehlah tahan, ni yang sampai tak boleh tercium bau badan suami ni apa pula ceritanya? Dahlah kehendak sang suami tersukat-tersekat, disiah pula bagai dagang melarat. Ish! Ish! Ish!
Tapi bila nak bayar barangan bayi yang dibeli, boleh pula tekap hidung tahan nafas berdiri sebelah suami. Nak pitam bagaimanapun, bila wang terkipas depan mata hilang loya dan mual ditekak. Apa yang tak mahu dibeli? Dari sekecil putting hinggalah sebesar bilik sebuah hendak disediakan. Itu yang di dalam rumah. Keperluan outing belum dicongak lagi. Ingatkan masa berkahwin aja yang sanggup berhutang, rupanya nak beranak pun leret juga. Alamat kena barredlah kad kredit tu.
Den_nai nak ingatkan pada yang baru pertama kali nak bergelar ibu ni; tak perlulah semuanya serba baru dan dalam bilangan yang melampau. Dicontohkan baby cot, kalau ada saudara mara yang punya, pinjam dan refurbishlah. Bukan apa, benda ni bukannya pakai lama sangat. Begitu juga dengan pakaiannya terutama sekali barut. Eh! Orang sekarang pakai barut lagi ke? Bayi cepat membesar. Pejam celik dah tak muat. Berkemas tempohari terjumpa setokin bayi, baru, tak berpakai. Bertanya juga, “…bila beli ni?”. Iman Jauhari dah pun nak masuk 2 tahun.
Rang suri perliharalah tingkah laku semasa mengandung. Kata rang tua, sifat dan sikap anak akan menurun dari ibu yang mengandungkannya. Tapi kalau genetic make-up nyalah susah juga nak ubah walaupun dah ada teknologi sains yang meng‘halal’kan genetic selection. Dan kata rang tua lagi, sang suami pun kena turut bersantun adab, jangan sembarangan lepas laku. Tahyul atau pantang larang? Memperelok budi pekerti tak merugikan, kan?
Berlalu hari, maka berubahlah status rang suri. Dari budak hingusan kepada anak dara sunti; beralih tunangan kepada isteri dan seterusnya kini akan bergelar ibu. Alangkah bertuah dan bahagianya badan. Namun godaan rang suri tak terhenti setakat ini.
Selamat menempuh hari-hari bergelar ibu!
Friday, April 3, 2009
Sesekali menghampar
....Duduk bersila tandang bertamu;
Beredar zaman bertukar pandang,
....Pupuk budaya sandang tak jemu.
Mak cukup suka membeli dan menghimpun tikar. Rumah di kampung bermacam-macam tikar yang mak beli. Dari yang seasli tikar mengkuang sehinggalah ke tikar yang terkini – tikar pandan, getah, lanolium, rotan dan tak ketinggalan buluh. Itu belum lagi saiz dan warna. Yang berlipat dua, berlipat tiga, bergulung, berlipat dan gulung dan macam-macam lagilah. Berkenan aja di mata mak. Kalau tak dibeli sendiri, dipesan bila kesempatan.
Tikar secara definisinya ialah hamparan daripada anyaman daun mengkuang dan sebagainya yang dibentangkan sebagai alas duduk. Yang peliknya ambal atau permaidani tidak pula digolongkan dalam kategori ini walhal ia memainkan fungsi yang serupa, sebagai alas duduk. Mungkin sebab ia bukan asli tradisional, ia lebih “tinggi” sedikit kedudukannya. Oleh itu ia lebih layak untuk untuk dilihat dan sekadar berfungsi untuk melapik kaki agar tidak kedinginan dek terlalu lama menjejak jubin seramik mahupun mar-mar; apatah lagi kalau yang diimpot dari Itali dan seumpamanya.
Di kampung bukan tak ada karpet, orang kampung pun mampu membeli; tak pun anak yang di bandar tolong belikan; tak pun kerana membeli yang baharu dan yang sedikit usang terpakai diposkan ke kampung. Namun bila kenduri kendara, tamu yang bertandang tak pula hendak duduk atas karpet yang siap terhampar cantik tu, lebih-lebih lagilah yang datang awal untuk menolong mengupas kentang, memotong lobak, menghiris bawang atau memipis lada. Kalau yang menyiang ikan atau menakik tulang rusuk tak payah cakaplah.
Nak bersila atas simen - sejuk, entah-entah kotor berabuk; bersimpuh atas karpet tak sesuailah pula dek kita nak menumis; duduk dikerusi terasa segan, kita bukan tetamu khas sekadar orang kebanyakkan. Maka tegak-tegak ajalah tetamu yang datang. Kalau tak dibentangkanlah tikar selembar dua, harus tak jadi kerja sampai ke petang. Itulah sebabnya mak tak jemu-jemu membeli tikar yang pelbagai, sesuai untuk sebarang persekitaran.
Almaklumlah, dibandar mana ada orang buat kerja-kerja macam ni dah, semua dah siap berpek, berbungkus. Kerja-kerja dibuat berdiri dan dengan bantuan teknologi moden. Tak perlu dah duduk-duduk, bersila atau bersimpuh. Yang perlu membantu pun tak perlu ramai. Cukup tiga empat orang. Ramai-ramai pun borak yang lebih, kerja tak jalan. Lepas tu sibuk bertanyakan ini di mana, itu kat mana. Belum lagi masuk bab menyediakan makan minum yang kononnya datang menolong. Yang tak syoknya boleh tanya ada pisau tak. Dah tahu datang nak mengupas bawang, bawalah kok sebilah. Silap-silap haribulan nak buat kenduri kesyukuran, dosa pula yang terhimpun.
Berbalik kita pasal alas duduk tadi. Begitulah kalau di bandar, kalau susah-susah sangat kontrak katering, habis cerita. Lantai tak lecah, parmaidani pun tak cemar. Rang suri pun bolehlah siap-siap melaram dari pagi sampai petang. Nak kesalun set rambut, manicure, pedicure, dan apa-apa cure pun silalah dulu. Balik rumah, selesai event, kalau kotor karpet angkara katerer, hantar dobi. Bil suruh katerer lunaskan ataupun potong kos yang dijanji. Kalau katerer protes, saman.
Tapi jangan tak tahu tikar pun dah naik taraf juga di bandar; jangankan bandar, dah sampai ke negara asing ia menjelajah. Tikar sekarang dah banyak yang panjat dinding, sebagai wall paper atau hiasan yang dibingkai, bukan lagi sekadar alas tempat duduk. Itu belum lagi yang diilhamkan sebagai lapik gelas dan pinggan mangkuk, beg kelek, beg sandang, tas tangan dan segala macam lagilah.. Pendek kata bila dah dijenama semula, pandangan masyarakat terhadap tikar pun turut berubah.
Satu lagi tikar lazim, tikar sembahyang. Den_nai tengok rang suri kalau nak menghadap ALlah tu bukan main lagi alas-beralas tempat berqiam-sujud. Tak cukup tikar mengkuang dilapik lagi tikar getah, dilapis pula ambal tebal. Lantai seramik yang sudah cukup cantik tu pun tak memadai. Entah berapa layers baru selesa! Seolah-olah sembahyang yang diterima berlandaskan betapa dalam tenggelamnya hidung terperosok ke permaidani tersebut. Sila-silap langsung hangus dek 7 anggota sujud tidak mencecah ‘lantai’.
Yang pasti tikar akan tetap selari dengan budaya Melayu walau di mana atau ke mana arah bangsanya. Kata orang sekali air bah sekali pantai berubah; namun yang satu ni agak tegar sikit untuk kalih. Kalau rang suri masih ingat atau rajin membaca dan mendengar kisah-kisah dulu, ketika itu setiap anak lahir pasti beralaskan tikar; akan tetapi sehingga kini perginya seorang anak Melayu masih terlihat beralaskan tikar.
“Yalah Mak, nanti kalau den_nai balik kampung mentua den_nai belikan lagi selembar dua untuk koleksi Mak”.
Friday, March 6, 2009
Sesekali berbatik
....Warna sedondon rancak sepadan;
Ilmu diusung semakin cantik,
....Mulia dituntun anak watan.
Sepanjang hampir sedekad bergelar suami, tak pula terlihat akan Ayu membeli kain batik barang sehelai. Jangankan batik lepas, batik basahan pun tak pernah. Kalau sutera batik dan batik sepasang dibuat kurung, kebaya mahupun kebarung tu adalah. Bukan tak punya, ada. Itupun pemberian sanak saudara semasa kami mula-mula diijab-kabulkan dahulu. Kalau tak begitu mungkin saja tak bersarong batik sehingga sudah.
Barulah den_nai tahu yang orang Kelantan akan menghadiahkan sepasang kain (batik dan pelikat) bagi setiap pasangan pengantin baharu seandainya mereka datang berziarah atau bertemu mengenal saudara. Dapatlah kami hampir dua dozen seorang. Tak pula kami ganti-pakai selama tiga minggu berturut-turut. Sempat kering yang dipakai malam sebelumnya untuk dipakai berselang hari.
Den_nai pesan pada Ayu supaya berkain batik tatkala pulang ke Seremban. Dalam lingkungan keluarga terutamanya Mak tentulah lebih manis berbatik basahan, terserlah keayuannya nanti; langkah tersukat, simpuh beradat. Bertahan jugalah dalam 6 – 7 bulan. Lepas tu tiada lagi den_nai terlihat Ayu berbatik lenggang melenggok kecuali ketika hampir bersalin dan dalam pantang. Rupa-rupanya ipar-ipar di kampung yang sedikit mempengaruh; “…tak rimas ke?”. Alahai, ketimuran yang mula terungkai.
Berapa ramaikah agaknya anak gadis sekarang yang pandai mengikat kain batik, berselip ataupun bersimpul? Sedangkan yang di kampung dan pendalaman pun susah nak jumpa inikan pula di kota-kota metropolitan. Jangan haraplah! Andai ada yang berkain batik pun pasti yang disuai-padankan dengan baju polos dan kain kipas di sisi bersemat rapi dijahit seorang ahli. Nak harapkan diri sendiri pasti tak menjadi. Entah mana sisip entah mana kipas; silap haribulan kain lucut terlepas.
Lepas? Bagaimana pula dengan kain batik lepas? Tak tahu batik lepas? Batik lepas ialah kain selembar yang tak bertemu hujung, tak berjahit seperti batik sarong. Den_nai ingat anak-anak gadis sekarang dan juga kaum hawa pertengahan umur lebih senang memindah tugas pada tukang jahit, lebih praktikal katanya. Iyalah, buat apa bersusah payah; jimat masa, tiada curiga, anggun bergaya. Sarong dan kancing, siap. Tak perlu melipat-lipat, terlilit-lilit, mengikat-ikat.
Kalau diikut kaedah lama, ada kemungkinan naya. Melangkah dua tiga, terburai sudahnya. Pernah den_nai pelajari cara-cara memakai batik lepas ni. Tapi dek tiada siapa yang dipakaikan, kepandaian itu kini samar-samar dan di ambang kelenyapan. Yang penting sabar dan tekun. Memang merumitkan dan adakalanya tak berbaloi lansung. Tak hairanlah ramai yang lebih selesa dengan konsep pasang-siap.
Sebelum wujud alas meja, kain seperah hadir setia. Kalau kini seperah merupakan kain putih gulung dibentang berjela, asalnya kain batik lusuh seadanya. Kalau dahulu meja sebidangpun tak punya, orang makan duduk bersila; jambar ditengah, sekeluarga mengeliling juadah. Tikar selembar, batik sehelai, makanan sedulang. Sekali pagi, sekali malam, tengahari di bendang. Itulah dulu.
Pundut. Kosakata ini tidak den_nai ketemu dalam kamus. Kata Mak, dagang lalu selalunya membawa pundut dipikul dengan sebatang kayu, Dalam pundut itulah segala harta semasanya. Baik kain baju mahupun emas segenggam dua. Lazimnya pundut adalah kain batik sehelai yang dibentang, diisi barangan tertentu lalu diikat bersilang bucu, disimpul mati. Seterusnya dijinjit, dikandar, diusung, dijunjung ataupun dikelek. Pundut batik ini juga dibuat bantal pengalas tidur, penghapus lelah. Kenapa batik bukannya pelikat? Kerana batik adalah titipan mak atau isteri, pengubat rindu tatkala sepi. Alahai rang suri, buat-buat tanya pula.
Batik alaf baru lebih segar, jauh bermutu. Coraknya abstrak dan bebas, tidak lagi terbatas di takuk lama – pucuk rebung, tampuk manggis, segala kelarai, awan larat dan sebagainya. Warna pula juga tak terkira ronanya, seribu macam. Itu belum lagi bab padanan warna. Andai dahulu warna contrast dianggap pelik, kini menjadi daya penarik. Depa kain 4.00meter. Bidang 1.50meter atau 1.20meter.. Kalau bidangnya kurang daripada itu, siaplah kain bertokok di pangkal pinggang. Harga jangan ceritalah.
Bentuk baju bercorak batik tidak lagi terhad untuk kurung dan kebaya. Segala ilham setiap fashion designer mampu dipadan. Dipotong serong, dilipat tengah, dirobek sisi, cantik menawan. Zip di depan, butang di tepi, sembat di belakang, tak kurang meng“ancam”. Aksesori juga telah bernuansakan batik. Tas, tali pinggang, selendang, kasut, semuanya telah dihasilkan.
Suatu ketika dahulu, rang suri kalau melangkah keluar rumah pasti berkelubung kain batik. Bukan apa; melindung muka daripada panas cuaca, mengelap peluh sekali sekala. Andai di bendang atau di ladang, kelubung bertukar menjadi semutar. Bentuk lilitannya pula pelbagai ragam. Di ranah Minang, simpulannya menjadi bualan dan identiti kebanggaan.
Mak tak buang terus kain batiknya yang sedikit koyak mahupun lusuh. Masih boleh dikitar semula. Sebagai selimut dan alas tidur umpamanya. Kain mengelap pinggan, “tuala” mandi sebelum menjadi basahan mandi, alas kaki dan macam-macam lagilah. Pernah juga mak guna kain batik untuk tampung tudung saji yang sedikit lopong diunggis tikus. Ialah saji dahulu bahannya asli tidak plastik seperti sekarang.
Mak guna juga batik lusuh untuk sambung tikar mengkuang yang terungkai dan di kelimkan sekelilingnya sebagai hiasan dan pemberat. Jadi tikar tak mudah tergulung sendiri dan kami tak tersadung bila berjalan. Suatu ketika dahulu kata Mak ada juga dibuat lampin. Sekarang tidak begitu. Semua perkara ada bendanya. Kalau disilang-pakai si pengguna dianggap darat dan tak up-to-date. Walhal kalau disilang-pakai sekalipun bukannya luak, tak mati pun.
Dan mati di pengakhir bicara. Batik lepas juga yang dicari orang untuk menutup jenazah sebelum dikapankan. Kalau dapat biarlah dua helai; taklah orang mengata kain panjang sejengkal atau kain sehasta, ditutup atas bawah terjulur, ditutup bawah atas terjulur.
Rang suri, cuba tengok dalam almari tu; ada tersimpan batik barang sehelai?
Wednesday, February 4, 2009
Sesekali berkasih
Air jernih pantai bersih,
.....Bertiup angin nyaman terasa;
Orang berkasih awak berkasih,
.....Orang ke pelamin awak kemana?
Seorang teman menyebut; mencari dan memilih kekasih ni ibarat menunggu bas. Kalau di depot memang banyak pilihan tapi kalau di bus stop, apa yang lewat sahaja jadi taruhan. Nak yang manual, otomatik, berhawa dingin, yang au naturel dan sebagainya, pilih. Kadangkala bas berisi penuh, tak kurang juga kosong terus. Ini bahaya juga ni; sebelum naik jeling-jeling dulu air muka sang driver. Yang penting rang suri, tetapkan dahulu hala tuju sendiri. Jangan berlalu semua bas pula. Kalau nak ke Putrajaya naik bas pergi Rawang, apa ke hal?
Itu memilih bas. Kalau dapat sang adam yang sentiasa naik bas, mesti tak berapa berkenan di hati. Jangan begitu rang suri. Selidik dulu. Jangan-jangan sang adam ni eco-friendly punya insan. Iyalah nak reduce CFC emission, nak kurangkan penipisan lapisan ozon. Silap-silap kat rumah ada Ferrari dan Lamboghini, baik punya parking. Hah! Melepas.
Selalunya orang mula berkasih di bangku sekolah. Cinta berok. Syok, asyik maksyuk tapi yang ada cuma habuk. Yang mula menapak di hati ialah di zaman kolej dan universiti, IPTA dan IPTS, pusat pengajian tinggi. Yang ini sah-sah menapak berjalan kaki. Paling-paling pun berkapchai. Yang ini betul-betul kasih. Tiada apa yang dipertaruhkan melainkan diri dan cinta sejati. Rela tak makan berhari-hari, asalkan kekasih ada di sisi. Biar mati beribu kali, sidia kan tetap kekal abadi. Rang suri kalau di persimpangan ini, cuba fast forward 20 tahun dan lihat diri sendiri. Tak ke tolol? Terasa naïf kan?
Nikmat diusung ni. Konon-kononnya oleh calon suami. Apa lagi kalau sang adam pria tampan jadi rebutan, hensem bukan kepalang. Pasti banyak mata yang memandang. Tapi selalunya rang suri, yang dipandang orang tu sang adam, bukannya kamu. Andainya sepadan, ada juga suara memuji. Buatnya rang suri yang lesser half, sepastinya mengundang keji. Silap haribulan kena cantas. Jangan cepat perasan yang diri tu best! Tak de maknanya.
Itu bentuk usungan pertama, berpimpin-pimpin, ramai. Yang kedua, sedikit-sedikit. Sang adam bermotor hebat, berkuasa tinggi, melilau segenap negeri, pagi bertemu dini. Rempit tunjang diri. Seronok membonceng rang suri? Berseluar ketat, berbaju sendat nampak pusat. Lekat tertenggek, punggung tonggek. Apa, ingat cantik? Apa dah tak pandai beringat?
Kalau berjalan tu sekadar berpimpin tangan; membonceng ni dapat bergeselan. Mulalah fikiran menerewang. Sang adam tak lepas peluang, dok tekan brek semedang; pandai-pandailah cari tempat nak memegang. Kalau dapat biarlah di pinggang. Usap-usaplah sedikit kalau tak keberatan. Dua kali tolol! Usahlah rang suri mencari beban.
Ketiga; kadang-kadang yang semakin menjadi kebiasaan. Usungan berkereta menjadi pilihan. Panas hari taklah cair make-up. Hujan hari taklah kuyup baju berdakap. Kereta zaman ni dah menjadi keperluan dan bukan lagi status peradaban. Ketempat kerja dihantar, pulang pula berjemput. Alahai, bagai menatang minyak yang penuh. Kembang hati rang suri. Sebelum naik turun kereta siap salam cium tangan. Oi! Bukan muhrim awak, beringat sikit!
Usungan keempat. Jarang-jarang. Jerung besar mencari habuan. Berani rang suri pertaruhkan diri? Yang ini teramat hebat. Ada supir saban hari, kondo mewah melangit tinggi. Tak perlu kerja, goyang kaki; kad kredit supplementary, shopping sakan tanpa henti. Apa yang perlu rawatlah diri, jaga penampilan sentiasa rapi, dari hujung rambut ke hujung kaki. Hasrat dan niat menjadi trophy wife sebab calon husband pun old and wise. Rang suri, mimpi dan angan belum tentu jadi kenyataan. Silap haribulan kekal jadi perempuan simpanan.
Pandangan den_nai biarlah diri tu dipikat dan bukannya sibuk nak memikat. Kalau dah kerapkali berdating, rang suri yang keluar belanja, itu petanda ada yang tidak kena. Sesekali tidak mengapa, itu tanda berbudi bahasa. Congaklah dengan akal yang sedikit cerdik. Bukan apa den_nai perhatikan rang suri ni bila dah berkasih sebegini rela menurunkan martabat diri setaraf baghal. Kalau rang suri seorangpun sang adam kedekut berbelanja, bayangkan apabila sudah beranak pinak. Alamat mendukung biawak hiduplah. Memang tolol!
Sang adam kalau dimanjakan dia naik mua. Diberi betis dia nak peha. Dapat peha, hendaknya yang putih gebu, apa lagi, dirabanya le. Rang suri lupa ungkapan termakan budi tergadai body? Tapi sekarang den_nai tengok ramai yang gadai body, untung-untung dapat laki.(suami.) Sang adam ni sifat dia suka mencuba dulu; tak dapat banyak, sedikit; tak dapat penuh, separuh. Janji merasa. Tapi bila nak beristeri, dia nak cari yang pristine, yang tulen, yang alim. Agaknya masa masuk meminang tu sang adam lupa nak tengok cermin. Hampeh!
Apa tujuan berkasih? Bagi rang suri lazimnya untuk berumahtangga tapi bagi sang adam kerapkali untuk mencuba nasib; nasib baik dapat cuba-cuba. Rang suri kalau rela diri diperlaku sebegitu memanglah sah-sah tolol! mencari masalah. Carilah pasangan menurut lunas yang digariskan agama. Tak berkerenah, mudah. Lima perkara andai diturutkan insya’ALlah, aman. Countdown; kecantikkan, sekufu, harta, keturunan dan agama. Apa nak susah-susah mengikut rentak semasa. Old fashion? Old is gold lah rang suri.
Tik, tok, tik, tok, bunyi jam di dinding; (di tepi katil;) sebegitu jugalah tempoh hayat untuk bunting.(hamil.) Ouch! Tu bas dah datang tu. Tahan aja, naik dulu. Senget pun sengetlah. Kalau hinggut sangat, tekan loceng, turun.
Friday, January 9, 2009
Sesekali merias
Orang berkolek awak berkolek,
......Orang mudik awak hanyut;
Orang bersolek awak bersolek,
......Orang cantik awak (ngapa) serabut?
Dari hujung rambut sampai ke hujung kaki. Lazimnya ayat sebegini digunakan untuk orang yang memohon ampun sebenar ampun; namun bagi rang suri den_nai lihat lebih terkhusus bagi merias diri. Apa yang tidak dibelek dan apa yang tidak diusik kerana inginkan “...cantik, menarik dan tertarik”.
Nak dikatakan berpunca dari sang Adam, mungkin itu permulaannya; akan tetapi akhir-akhir ini ia lebih menjurus kepada persaingan antara rang suri sendiri. Peliknya yang mempromosikan perapian diri ini rang suri juga. Dijajanya ke sana ke mari, dicanangkan tanpa henti, bawa ke malam dari pagi hingga berlangsung ke dini hari. Sang Adam yang diharapkan memuji ketahuan menjeruk hati. Apa nak jadi, apa dah jadi?
Paling ketara ialah muka. Dek kerana muka adalah ‘pintu’ kepada setiap individu, keutamaan diberikan kepada rupa-wajah. Yang murung diserikan, yang kusam dicerahkan, yang kasar dimuluskan dan segala macam lagi penjagaan diusulkan. Dan den_nai tengok proses untuk ini semua bukan nya seminit dua, sepantas menyebut a, b, c; tetapi berjam-jam, berjela-jela, malah berterusan. Tak boleh berselang dan tertunggak.
Benarlah manusia lahir dengan pelbagai bentuk dan ragam kulit muka. Kering, berminyak, tidak sekata terutamanya pada zon-T, dan kombinasi yang berkerenah. Yang kering beruntung sebab muka tak ‘bersilau’ tetapi kulit sebegini cepat nampak berusia, tualah tu. Yang berminyak pula kulit kelihatan anjal serta segar tetapi dibawah panas terik, minyak muka menjejeh sampai kata orang boleh buat menggoreng ikan, berkilat semedang.
Di sinilah bermula rawatan kulit muka. Cleanser, toner dan moisturizer. Logiknya kulit tu kalau sedikit berdebu, memadailah basuh dengan air, mengapa perlu dikikis semua minyak di muka tadi dengan cleanser? Lepas tu dibubuh toner, biar kulit tu anjal dan gebu kononnya. Seterusnya di‘moisturise’kan yakni dilembabkan. Tak cukup dengan regimen yang ini ada pula yang ditepekkan lagi – day cream dan night cream pada ketika tidak memakai alat solek.
Jangan berpuas hati! Seminggu sekali disarankan pula face mask dan exfoliating gel. Bukan apa, sel-sel kulit yang mati tu perlu dinyahkan serata mungkin. Kalau ini tidak dilakukan kulit tidak sekata dan memberi ruang untuk jerawat dan jeragat membentuk. Kalau nak buat skin peeling pun boleh tapi risikonya untuk seminggu selepas rawatan, kulit akan menggelupas. Nak kompelin buat apa, namanya pun “mengupas kulit”.
Itulah, orang tua-tua dulu dah berpesan, rawatan kulit muka paling mujarab ialah wudhu’. Logik pun logik. Kalau dah lima kali sehari muka dibasuh dan dibasahkan, bersihlah ia, lembablah ia. Tambahan pula kalau anak-anak gadis tak rajin berjemur tengah panas, tak tercangak-cangak tanpa haluan. Lupa pula, orang sekarang dah pakai sun block SPF-30 minimun for effective result.
Satu lagi yang den_nai tak faham ni, kulit dah cukup cun putih-kuning, sawo-matang, hendak juga diaplikasikan krim pencerah kulit agar berubah menjadi putih-melepak. Yang orang putih di negara jauh tu pulak sibuk nak meng‘tan’kan kulit mereka, sawo matang macam kebanyakkan kulit orang kita. Kategori apa ini – kufur nikmat atau tak bersyukur? Jangan nanti sampai pakai body-spray macam celebrities di Hollywood tu sudahlah.
Terlanjur menyebut, ramai yang tidak sedar bahawa sawo tu adalah nama lain bagi buah ciku dan matang tu pula antara maksudnya ialah dah tua. Erti kata lain bagi warna kelaziman kulit orang kita adalah warna (buah) ciku-masak! Itulah sawo-matang kalau nak tahu. Satu lagi warna kulit yang dikaitkan dengan buah ialah kuning-langsat.
Berbalik kepada muka tadi. Bila dah bersih, barulah disolek agar tambah cantik dan seri. Tak sedar sebenarnya apa yang dilakukan ialah menepek benda-benda asing ke kulit muka! Lepas tu sibuk kulit gatallah, tak serasilah, tak selesalah. Memanglah. Awalnya dah dicucikan liang-liang roma dengan segala macam kaedah. Apabila dah bersih, disumbat kembali dan dicemar semula. Kompelin lagi.
Tapi jangan tak tahu, foundation, compact atau liquid dah ada yang allow the skin to breathe. Warna tak payah cakaplah; dari seterang siang hingga segelap malam mesti ada colour to match the skin tone. Nak yang matte finish atau yang extra glow mesti ada punya. Yang biasa-biasa tu berlambak. Kalau noda dan parut dimuka agak ketara, concealer sedia berkhidmat. Tenyeh secalit dua dan smudge. Pasti kulit muka kelihatan flawless.
Aiseymen! Terlupa pula akan line contour gel. Kalau botox tu dah difatwakan haram. Lebih-lebih lagi kalau memakainya ia merelakskan urat-urat saraf dan seolah-olah kita tak boleh control facial expression sendiri. Naya tu! Kalau rajin mengamalkan line contour gel ini, kerut dahi, alur senyum, crow feet dan saggy eye bags akan berkurangan. Taklah macam orang gaek.
Den_nai dah agak dah, ni baru cerita pasal muka, belum disentuh tentang yang lain dah berjela tak habis-habis. Banyak lagi bahan untuk diceritakan, kan tadi den_nai dah cakap – dari hujung rambut sampai ke hujung kaki. Jadi rang suri, buat masa ni, belek jangan tak belek. Tu jerawat tu jangan picit pakai jari…
Friday, December 5, 2008
Sesekali berkorban
Suar pelita baris bertindih,
.....Sinar bulan terang cahaya;
Biar saya terguris pedih,
.....Agar tuan senang bahagia.
I
Nisa:.Anak-anak kau tak bertuition lagi ke?
Lily.:.Anak-anak aku bukannya bodoh sangat. Aku tengok
........elok aja pelajaran diorang. Aku ingat nak stopkan dulu.
........Abang Lan pun bukan tekankan sangat pendidikan diorang.
........Kalau dapat, dapatlah, kalau tidak, tidaklah. Rezeki
........memasing, tuhan dah aturkan semua tu.
Nisa:.Iyalah tu Lily oi! Tapi kenalah dipadankan dengan
........usaha dan ikhtiar. Kalau tak, tak jadi juga.
Lily.:.Aku tengok bila periksa tak pernah pun diorang
........dapat dua angka, mesti bawah dari sepuluh. Itu dah kira
........okeylah tu.
Nisa:.Iyalah. Itu sebab ada guru tution yang membimbing
........mereka. Nak mengharapkan engkau, jangan mimpilah. Laki
........ngkau jauh sekali.
Lily.:.Mana akak tahu? Akak bukan duduk dengan kitorang.
Nisa:.Memangpun. Tapi akak boleh melihat dan mendengar.
........Anak-anak kamu tu pun dah pandai bercerita dengan anak-
........anak akak. Kalau mereka tak cerita pada sepupu-sepupu
........mereka, engkaupun bukan pernah menyebut pasal jadual
........sekolah anak-anak, bila cuti, bila periksa pun kamu tak
........tahu. Inikan pulak nak mengajar!
Lily.:.Alah kak, pandailah bebudak tu.
Nisa:.Dula beriya-iya kau kata, berkorbanlah duit sikit
........untuk masa depan anak-anak. Jadi sekarang duit untuk
........tution tu kamu dah masuk simpanan banklah?
Lily.:.Bank! Akak tak nampak ke gelang mas dua tepek ni!
........Sesia aja aku pakai. Bukan ringan tau! Aku dah buat down
........payment, bayar bulan-bulan.
Nisa:.Kok iya pun singsinglah lengan baju tu sikit.
........Manalah akak nampak!
II
Mak..:.Betul ke kamu nak ikat ni Fatin? Kamu tu muda
..........lagi, belum pun 25. Beranaklah dulu. Esok kalau dah ada
..........tiga empat orang,kau nak buang terus pun tak apa.
Fatin:.Biarlah mak. Suami Fatin kan dah ada anak.
..........Cukuplah tu. Ramai-ramai nanti tak terbela pulak.
Mak..:.Anak orang, anak sendiri tak sama Tin. Lagi
..........pun anak-anak tiri kamu tu, bukannya mati mak. Esok-esok
..........kamu juga yang menyesal.
Fatin:.Apalah sangatlah pengorbanan Fatin, mak. Abang
..........Baha mengahwini Fatin pun dah bersyukur sangat dah.
..........Orang sekarang bukan pandang sangat orang ulu macam
..........kita ni mak.
Mak..:.Kau jangan rasa rendah diri Fatin. Kita tak
......... kurang peribadi dan adab. Cuma orang kampung aja.
Fatin:.Nanti kalau rasa nak anak sendiri nanti Fatin
..........bukalah balik.
Mak..:.Masa tak nunggu kamu Tin. Ni badan tengah
..........sihat dan kamu pun muda lagi; mak pun boleh nengokkan
..........cucu mak tu nanti. Iyalah kalau kamu beranaklah.
Fatin:.Orang kata kalau beranak banyak nanti badan
..........cepat naik. Gemuk. Tak naklah Fatin. Kalau abang Baha
..........kawin lagi macam mana?
Mak..:.La! Ke situ pulak!
III
Jaja.:.Kau biar betul! Kau tak nak terima tawaran career
.........advancement tu!
Dian:.Aku bukan tak nak. Ni tengah dalam dilemma ni.
Jaja.:.Dilemma apa ke bendanya. Accept ajalah. Orang
.........berebut nak dapatkannya, engkau dah dapat nak
.........berdilemma bagai.
Dian:.Nantilah dulu…
Jaja.:.Tak payah nanti-nanti. Memanglah kerja bertambah
.........dan tanggung-jawabnya semakin berat dan mencabar, tapi
.........imbalannya setimpal juga kan? Perks and benefits dah
.........tentu baik punya.
Dian:.Itu Yan tahu kak. Tapi duit kak, banyak manapun
.........tak akan cukup. Yang sekarang ni pun makan sorang
.........tak habis.
Jaja.:.Makan sorang memanglah tak habis. Esok bila kau
.........dah beranak pinak sok, cukup? Mana dengan duit susu, duit
.........lampin, yuran kindergarten, uniforms, tambang bas, segala
.........macamlah. Itu belum masuk bab insuran dan duit tabungan.
.........Tau-tau duit RM500 sebulann yang kau bagi mak kau tu
.........jadi setahun sekali. Baru padan dengan muka kau.
Dian:.Macam tu sekali kak?
Jaja.:.Anak akak berderet Dian. Nak bohong buat apa. Duit
.........rumah, kereta, belanja dapur, duit api air dan segala lah.
Dian:.Akak ni menakut-nakut kan saya ni.
Jaja.:.Tak ada untungnya aku memomokkan engkau Dian. Kau
.........tahu, orang perempuan macam kita ni jarang dapat
.........promotion tau! Akak tengok kerja kau bagus, sentiasa
.........up-to-date dan beres. Tu sebab bos tak cuak dan senang-
.........senang rekomenkan kau.
Dian:.Nanti kalau Yan jadi Manager, tak kan si Alif tu
.........masih kat assembly line. Tak ngamlah kak. Kenalah
.........berkorban sikit.
Jaja.:.Bijak-bijak engkau banyak jugak tololnya ya! Kalau
.........aku engkau, aku tak layan lelaki yang tak ada hala
.........tuju hidup. Berkorban apa ke bendanya. Apa yang akak
.........nampak engkau mengorbankan masa depan engkau!
IV
Rang suri, berkorban tak salah; malah teramat hebat dan agung. Tapi, nawaitu tu kena tepatlah…
Tuesday, November 18, 2008
Sesekali direnjis
.....Menyurai angin alunan utara;
Secantik sepadan,
.....Bagai cincin dengan permata.
Jelingan di pelaminan tu bukannya jelingan malu-manja. Almaklumlah, dah kenal lama, mana ada tersipu-sipu lagi. Jelingan tak puas hati adalah. Mana taknya, minta sepuluh ribu yang dibaginya sekadar tujuh. Mana hati tak geram. Orang kampung semua dah tahu. Bukannya local-grad, executive lagi.
Jangankan 10, 15, 20 hatta 25 ribu sekalipun kalau dibagi mesti hangus punya. Rang suri ni kalau memusnah, hendak-hendaknya bab-bab nikah-kahwin ni, jumpa aja caranya. Tu sebablah kena sukat dan sekat. Yang balance tu bukannya tak boleh diberi, beri jugalah dalam bentuk tabungan. Esok lusa boleh dibuat down payment untuk kereta ke, rumah ke, beli persiapan anak sulung ke; tak gitu?
Tu kad jemputan yang sampai sebesar saiz kertas A4 tu nak buat apa? Siap bersembur wangi-wangian lagi. Malu kat orang yang dijemput? Malu apa ke bendanya. Yang penting maklumat yang terkandung di dalam. Apa ingat orang nak frame kad jemputan tu; tak ada nya de. Paling-paling pun simpan sampai tarikh hari langsung, lepas tu kirim salamlah.
Apa perlunya kelongsong telur sampai 5-6 ringgit secucuk? Dah tu tak cukup sepasang pahar, mesti sampai empat gagang; paling koman 200 cucuk. Apa kelas telur putih. Kalau leceh sangat memindang, beli aja cokelat bujur telur; setidak-tidaknya warnanya hampir serupa dengan telur yang dipindang. Kalau tamu tak simpan bunga telur tu pun tak apa, janji ‘ikhlas’ memberi. Memang lazimnya orang tak simpan pun.
Jeling lagi. Dengan senyum terpaksa sambil sesekali mengetap bibir, mata meliar memandang pelamin yang diduduki. Dah cantik berhiaspun dikata tak cantik. Sepatutnya ada dual backdrop, spot lights dan fresh flowers katanya. Janji dulu bersanding atas kerusi ala-ala Cleopatra bersantai. Lain yang dipersetujui, lain yang jadi. Nak tak hendak, kelat tak kelat, senyum jugalah.
Den-nai kekadang tu tertanya sendiri, bangsa kita ni dah tak perasan ke perbuatan merenjis yang kononnya nak merestu kedua pengantin ni, secara tak lansung membuatkan orang-orang tua seolah-olah ‘menyembah’ pada anak-anak mereka sendiri? Kalau nak merestu tu, biarlah anak-anak tu bertimpuh; tak lah mak-ayah terbongkok-bongkok di kepala lutut anak-anak. Apa takut pengantin tak cukup tinggi letaknya dan tak terlihat dek orang? Dah terbiasa kan?
Mujur juga hantaran 13 dulang yang dipinta hadir belaka. Kalau tidak mahu bersilat tentunya. Dah ditempah khas, memanglah menarik. Tapi di mana mestinya berdulang emas dan perak, beralas baldu sutera mastuli? Parfume dari Paris, sepatu dari Itali; dek kerana nak jaga prestige, semua serba luar negeri. Apakah barangan Gombak tak elok, tak standard, tak lasting?
Makan beradap. Buntang mata mempelai menengok juadah yang terhampar megah memenuhi meja. Barulah nampak seri rang suri, ‘anak daro’ kata orang Neghori. Ayam golek tergolek, udang susun menjulang, siakap tiga pinggan, gulai daging, kari ayam, acar mentah, acar buah, sayur campur, sambal sotong berinti dan segala macam peri; indah bersaji, berwarna-warni.
Tabiat orang kita ni den_nai tengok, kalau setakat garnishes tu tak ada siapa yang jamah; memang sekadar menghias, tak disentuh-makan. Harapkan cantik lepas tu buang. Lauk-pauk para tamu tak cukup yang disedia katerer, mesti nak ditambah yang dimasak di rumah. Takut nanti tak cukup, malu. Pencuci mulut tak lupa, ole-ole mesti sedia. Anak kecil lain, dewasa lain, tetamu istimewa juga lain. Pokoknya pelbagai dan berampai.
Para undangan bukan seratus-dua. Kita ramai saudara, kawan jangan cerita, rakan niaga mesti nak kira, apatah lagi jiran tetangga. Semua kena hadir raikan bersama. Tambahan pula ini anak pertama. Kalau tak yang pertama, yang bongsu, tak pun yang perempuan seorang, tak pun yang penghabisan. Mesti ada alasan untuk berhabis-habisan. Biar orang bercerita jangan orang mengata. Mulut orang, baik-buruk akan disebutnya juga.
Sunggupun lauk terbentang depan mata, yang disuap ke mulut adalah empat lima. Tak selera katanya ataupun takut comot lipstick. Sambil-sambil tu mencubit marapulai - pengantin lelaki kata orang Minang - dek teringatkan majlis berinai malam kelmarin. Make-up artist cancelled last minute. Lepas tu tak sempat nak pakai semua persalinan yang ditempah. Sempat ke Korea, Pulau Jawa dan Jepun sahaja. Ke China, India, Pulau Bali dan alam Cinderella tak dan. Dah nak masuk subuh.
Tapi ke mana semuanya jemputan yang diundang? Takkan tak datang. Iyalah orang lain pun bersaudara juga, ada tempat lain berkenduri-kendara, nak hadir juga. Nak marah buat apa, nak merungut, kenapa. Wedding planner yang dihire tak merencanakah itu semua? Gaya orang sekarang nak ada wedding planner baru ada class. Class apa ke bendanya kalau yang kita dapat jenis tangkap-lepas. Silap haribulan kena ‘caras’.
Yang tak moleknya, jangan nanti usia perkahwinan belum sampai setahun (tapi sempat mengandung); hutang belum langsai, ikatan-janji dah terungkai. Berhematlah. Biar berpada asal bahagia; bukan papa asal bergaya. Kadang-kadang tu anak tak seberapa, ibu yang beria-ia. Nak jaga air muka kononnya. Kalau nanti dah bercrai-berai, bukan setakat air muka yang berubah, arang pun terconteng segenap arah.
Rang suri, syarat rukun nikah ada lima - Wali, Lelaki, Perempuan, 2 saksi lelaki serta Akad-nikah dan bukannya Pelamin, Malam berinai, Bilik pengantin, Kad jemputan ber-RSVP serta hantaran sepenuh laman.
Wednesday, November 5, 2008
Sesekali berbelanja
Sirih carang sirih kerakap,
.....Susun bersusun sirih rakit;
Pilih pandang pilih cakap,
.....Santun bersantun sisih penyakit.
Salam pertemuan. Lebih manis lagi kerana ia turut merupakan salam lebaran. Sebenarnya dalam apa juga bentuk pertemuan, menghulurkan salam adalah disarankan bagi umat Islam. Menjalin ukhwah sesama insan.
Pilih pandang pilih cakap. Hmmm… Den_nai rasa ada juga yang akan tersinggung dengan apa yang bakal den_nai paparkan. Apapun pandangan di sini bukan sekadar memandang tetapi juga pandangan, pendapat serta buah fikiran. Kalau bersetuju, molek benarlah. Namun kalau tak bersetuju tak mengapa; kita bersetuju sahajalah bahawa kita tak sependapat. Kita maklum, lain padang lain belalang. Elok di mata kita tidak semestinya selesa di hati orang. Oleh yang demikian akan bersantun-santunlah den_nai, jangan sampai perkenalan pertama aja orang dah tak berkenan.
I
“Alahai Mak Ngah, cantiknya langsir! Tahun lalu berscallop bagai, siap berbirai renda lagi. Kali ni ada day and night curtain, berbirai manik pulak tu. Mesti railing baru jugak ni. Iyalah dah tiga lapis. Tahun dulu dua landas aja. Warnapun bukan main garang lagi. Tapi cantiklah Mak Ngah.”
“Eh! Eh! Ini warna baru ni! Bila masanya mengecat? Sebelum puasa hari tu lain colournya kan? Tak ada bau cat lansung; padanlah saya tak terhidu. Odourless ya? Tentu mahal kan? Memang pandai Mak Ngah pilih warna. Dua tone, ada feature wall lagi. Sepadan betul dengan langir tu.”
“Amboi! Raya sakan Mak Ngah! Berganti perabut dengan carpet sekali. Yang lama tu kan masih baik lagi. Sayangnya kalau dibuang. Oo… trade-in. Perabut pun dah pakai sistem gitu ya? Pak Ngh tak marah ke? Tapi bentuk perabut ni macam Pak Ngah punya taste aja. Bertuah betul Mak Ngah ni. Overhaul sungguh ni. Cash ke credit? Credit!!! Patutlah….
II
“Cukup le diorder tiga empat jenis Limah oi! Yang lain-lain tu kamu beli aja kerepek-kerepek dan kekacang. Ini sampai sepuluh macam. Bukannya orang makan sangat bebenda tu semua. Nanti hari pertama dan kedua raya bukannya orang usik kekuih ni semua. Yang dicarinya lemang, ketupat, rendang, nasi impit, lontong, dodol, wajik, dodol dan lelain yang tradisional. Kekuih awak tu tak ada yang menyentuhnya.”
“Beli mesti nak penuh semeja. Nanti lebih kuih tak cukup bekas. Beli balang lagi. Pecah satu ganti semua set. Habis yang lain tu kamu buat apa Limah oi! Tu kat belakang tu, dah penuh alamri dek balang kuih. Disuruh agihkan, sayang kata kamu. Ni nak suruh aku beli almari lainlah pulak ni. Esok almari dah penuh kamu nak suruh aku tambah bilik pulak! Duit kuih tahun lepas dah habis kamu bayar?”
III
“Mimi, kau anak-beranak tema apa kali ni? Kita orang decide pakai fuchsia-pink first day raya nanti. Abang Din tak kisah, Cuma dia warning akak supaya jangan beli songkok dengan songket untuk dia. Yang lama masih elok lagi katanya. Tak payah nak berdondon-dondon. Akak buat tiga set semuanya. Yang dua lagi aqua-blue dan tangerine-orange.”
“Yalah takkan nak pakai baju yang sama pagi petang dua tiga hari berturut-turut. Itu pun kalau sempat kering. Dibuatnya hujan, alamat pakai t-shirt dengan seluar treklah. Lepas tu duduk rumah tengok tv ajalah jawabnya raya kali ni. Nak tahu, kasut pun akak beli 3 pasang. Eh! Kau jangan bagi tahu abang Din tau!”
IV
“Ayu abang ingat tahun ni kita tukar keretalah, tak pun kita sembur warna baru. Barulah sedondon dengan warna rumah kita…”
